Zizan Razak Dedah Ibu Bapa Pernah Halang Jadi Artis, Main Gitar – “Kawasan Rumah Saya Dah Macam Filem Pablo Escobar”

Pelakon dan pengarah, Zizan Razak mendedahkan penglibatannya dalam bidang seni sekitar tahun 2007 awalnya tidak mendapat persetujuan ibu bapanya.

Menurutnya, ibu bapanya menyatakan rasa bimbang jika dirinya terjebak dengan masalah gejala sosial di Kuala Lumpur setelah bergelar artis.

“Masa saya nak jadi artis tu ibu bapa saya marah. Mereka risau. Saya yakinkan tak mengapa dan saya cakap kalau saya nak jadi teruk tak payah tunggu saya pergi Kuala Lumpur.

“Tak perlu jadi artis sebab depan rumah saya macam-macam dadah ada. Kawasan rumah saya dah macam filem Pablo Escobar.

“Tapi Alhamdulillah dengan didikan dan pantauan ibu bapa, saya jadi orang yang baik,” kongsinya semasa ditemui semasa majlis sidang media tayangan filem Merewang Keluarga Pak Awang, baru-baru ini.

Sementara itu, Zizan berpendapat agar ibu bapa perlu bersifat terbuka dan menyokong perkara yang diminati anak-anak.

“Dulu waktu tingkatan lima, ibu pernah larang saya main gitar. Katanya arwah atuk saya tak suka dan tidak diberitahu kenapa. Saya berfikir apa salahnya main gitar asalkan tidak berhibur sampai jadi najis.

“Tapi saya tetap belajar main gitar senyap-senyap. Baru-baru ini, saya bahaskan semula tentang perkara ini dengan ibu.

“Saya kata kalau ibu lebih terbuka mungkin saya sudah lebih mahir. Tapi tak apa, Allah bagi begini pun sudah cukup,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaharunya, Zizan buat pertama kali membawakan watak antagonis menerusi filem Merewang Keluarga Pak Awang terbitan Astro Shaw.

Filem komedi arahan Adlin Aman Ramlie ini mengetengahkan tradisi merewang dalam masyarakat yang semakin dilupakan di samping membawakan mesej perhubungan antara ayah dan anak.

Maya Basir