Zizi Kirana Selesa Dengan Imej Berniqab, Suami Beri Sokongan – “Yang Penting Kita Tak Cemar Imej Wanita Berniqab”

Penyanyi Zizi Kirana tampil menjawab dakwaan dia kini sudah berniqab secara penuh.

Memetik laporan Harian Metro, Zizi atau pemilik nama penuh Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, menafikan perkara tersebut sebaliknya meminta semua mendoakannya.

“Sebenarnya saya memang suka berniqab, cuma saya tahu kerjaya saya ini belum membolehkan saya untuk ke arah itu (berniqab).

“Apatah lagi, berniqab ini pun bukan wajib, jadi ia pilihan kita untuk pakai atau tidak. Yang penting kita tidak mencemarkan imej wanita berniqab. Disebabkan itu kita kena berhati-hati.

“Itu yang bila nampak saya sekejap berniqab dan sekejap tidak, doakanlah saja yang baik-baik. Tak perlu nak komen yang tidak baik,” katanya.

Dalam pada itu, suaminya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin hanya bersikap terbuka dengan pendirian isterinya malah menyokong penuh penghijrahan Zizi.

“Saya okay sahaja dia pakai niqab atau tidak. Mana-mana yang dia rasa selesa. Selagi dia tahu benda itu bukan perkara yang mendatangkan dosa, saya harap dia dapat mengawalnya sendiri.

“Setakat ini tiada masalah atau sebarang isu. Saya sokong saja isteri saya,” ujar Yusuf.

Zizi mula mengenakan hijab secara penuh pada pertengahan tahun 2021.

Untuk rekod, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi