Categories: Konsert

Membawa Penonton Ke Zaman Era-60, Impian Kugiran Masdo Di Pentas DFP Tercapai!

Konsert Perdana Kugiran Masdo yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu lalu seperti membawa penonton ke zaman era 60-an dengan gabungan orkestra.

Pada malam tersebut, Masdo membawakan tiga belas buah lagu antaranya Bunga, Janji Manis, Inilah Jalannya, Dinda, Dewi Puspita dan Malam Pesta Rock & Roll.

Lagu baru kumpulan ini yang berjudul Pujaanku berduet bersama penyanyi Aisyah Aziz turut dimainkan buat pertama kali secara ‘live’ untuk penonton di DFP.

Di pertengahan persembahan, suasana menjadi sedikit suram apabila lagu Ratu Hati didendangkan dimana ia didedikasikan buat menghargai jasa ibu-ibu yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Menurut Ali Sariah selaku vokalis, impian mereka untuk membuat persembahan di pentas DFP akhirnya menjadi kenyataan dan bersyukur dengan peluang yang diberikan.

Meskipun mereka akui gementar, namun interaksi Masdo dengan para penonton sangat bertenaga dan menghiburkan.

“Masa awal-awal memang nervous, tapi lepas dah dapat energy daripada penonton terus bagi kami semangat untuk perform,” ujar Putu Ceri selaku bass.

Penonton yang menyaksikan persembahan mereka bukan hanya dari Kuala Lumpur tetapi dari negara Brunei, Singapura, Sarawak malah dari negara Denmark.

DFP juga telah melonggarkan peraturan mereka seperti boleh merakam persembahan mereka malah boleh turut berdiri dan menari bersama!

Tidak melepaskan peluang, ramai penonton yang berdiri dan menuju ke hadapan pentas untuk merasai persembahan Masdo dengan lebih dekat.

Selain pemain gitaris dan bass daripada kumpulan Masdo, iringan muzik orkestra yang sangat merdu pada malam itu membawakan pemain drums, keyboard, obeo, violin, cello serta alat muzik French horn.

Maya Basir