Categories: Konsert

Tampilkan Bocey, Zero, Sule, Rina Nose & Ramai Lagi… Konsert Muzika Lawak Nusantara Gabung Pelawak 2 Negara

Pihak Ifix Studio dan Mesaton Ventures tampil mengumumkan mereka bakal menganjurkan Konsert Muzika Lawak Nusantara yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, pada 19 Ogos ini.

Konsert yang bakal menggabungkan barisan pelawak dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia ini juga diadakan untuk memberi penghargaan kepada mereka di samping mengukuhkan lagi industri komedi antara kedua-dua negara.

Lebih menarik lagi, konsert yang akan dikendalikan oleh perngacara terkenal, Datuk AC Mizal ini juga akan dibintangi oleh barisan pelawak berbakat seperti kumpulan Bocey, Zero, Sule, Aziz Gagap dan Rina Nose.

Menurut Khairul Afizi selaku penganjur, mereka akan menyajikan konsep persembahan yang berbeza berbanding konsert yang lain kepada penonton yang akan datang.

“Konsep keseluruhan sememangnya berlainan berbanding konsert-konsert yang sebelum ini. Kita tidak menjurus kepada keseluruhan nyanyian atau pun sketsa dan kita bertemakan muzikal.

“Saya menjanjikan sketsa-sketsa yang tidak pernah ditonton di mana-mana, Insya-Allah. Kita akan ada empat segmen dari kedua-dua kumpulan pelawak dari Malaysia, pelawak Indonesia dan gabungan dua negara.

“Konsert ini akan berlangsung selama lebih kurang dua jam. Bergantung kepada pelawak kerana setiap segmen diberi masa selama 30 minit,” katanya.

Selaku hos yang bakal mengendalikan konsert tersebut, AC Mizal turut menyatakan dirinya lebih terbuka

“Saya lebih suka mereka tidak boleh dikawal kerana lebih mudah untuk saya menghidupkan situasi ketika itu kepada banyak perkara.

“Hos juga merupakan salah satu elemen yang penting dalam produksi itu sendiri. Jadi, saya akan pastikan penonton sentiasa dalam momentum yang tinggi kerana ini merupakan konsert yang terbuka dan kurang pantang larangnya,” jelasnya.

Orang ramai sudah boleh membeli tiket untuk Konsert Muzika Lawak Nusantara bermula dari RM128 hingga RM368 menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my, pada 23 Jun 2023.

 

Fatin Nurain