Air Mata Jatuh Disebabkan Skandal 1MDB

Bayangkan, dirinya terpaksa bersembunyi di Washington, Amerika Syarikat selepas menerima ancaman bunuh.

Itu yang terpaksa dilalui oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdul yang mendedahkan pelbagai cabaran terpaksa dilalui beliau sepanjang mengetuai siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd.

“ Saya terpaksa menggunakan strategi tertentu termasuk menularkan berita kononnya hendak ke Jeddah, Arab Saudi bagi mengaburi mata pihak berkenaan.

“Sebenarnya saya alihkan perhatian mereka kerana saya terbang ke AS atas bantuan rakan-rakan perisik di luar negara.

“Saya amat sedih dan pernah menangis kerana hampir berada di sana, saya ketahui beberapa pegawai kanan SPRM ditukarkan, malah anak-anak buah saya ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar, sebentar tadi.

Menurut beliau, semua laporan berkaitan isu SRC International Sdn. Bhd. dan derma RM2.6 bilion adalah satu cerita benar dan bukannya rekaan semata-semata.

Katanya, beliau amat kecewa kerana dituduh sebagai pembelot dan pengkhianat negara sedangkan beliau hendak menyelesaikan siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa.

“Saya tidak pernah menceritakan mengenai perkara ini sehinggalah hari ini.

“Niat saya bukan untuk balas dendam tetapi demi negara dan memulangkan wang rakyat mengikut lunas undang-undang,” katanya yang menangis semasa berkongsikan pengalamannya itu kepada lebih 100 media.

SGMS Faida