IDA SURAYA CIPTA SEJARAH DUNIA FESYEN

Pemilik dan pengasas jenama fesyen, Bianco Mimosa, Datuk Ida Suraya Mustapha mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Minggu Fesyen Antarabangsa Dubai (IFWD), Emiriah Arab Bersatu,  selama tiga tahun berkuatkuasa Januari lalu.

Pelantikan itu menjadikan Ida Suraya sebagai pereka fesyen pertama tempatan dan negara ASEAN  berjaya menduduki jawatan tertinggi bagi minggu fesyen yang terkenal di kalangan penggiat fesyen seluruh dunia.

Sebagai Ahli Lembaga Penasihat, usahawan berusia 46 tahun itu akan menjadi juri untuk semua pertandingan dan anugerah selain bertanggungjawab merangka pembangunan perniagaan fesyen di dunia merentasi Dubai hingga ke kota fesyen di Paris, Perancis.

Beliau juga bertanggungjawab memilih pereka fesyen yang bakal  menyertai minggu fesyen malah akan muncul dalam semua rangka sidang media di seluruh dunia.

“Saya berasa terharu, bangga dan gembira dengan pelantikan ini kerana dapat membantu menaikkan nama Malaysia di mata dunia khususnya  dalam industri fesyen antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemegang jazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik dan sistem di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini mula berkecimpung dalam dunia fesyen pada tahun 2012 apabila mengasaskan jenamanya sendiri, Bianco Mimosa.

Beliau kini merupakan Pengarah Urusan, Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat kejuruteraan tempatan yang turut beroperasi di luar negara.

SGMS Fas