Media Prima Terima Anugerah Media Digital Terbaik Di Huawei Developar Day

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, Media Prima Berhad telah dia anugerahkan sebagai Media Digital Terbaik pada hari Pemaju Huawei yang dianjurkan oleh Huawei Malaysia yang berlangsung pada 15 November lalu.

Media Prima diiktiraf sebagai ‘Media Digital Terbaik’, mengatasi beberapa syarikat media di Asia Tenggara.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Pertumbuhan Perniagaan Ekosistem Peranti Huawei, wilayah Asia-Pasifik, Rei Xiao kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali pada Rabu.

Menurut Rafiq, Media Prima teruja menerima pengiktirafan tersebut malah turut menghargai kerjasama dan hubungan bersama pihak Huawei.

“Dari pihak Media Prima, kami teruja untuk menerima pengiktirafan sebagai Media Digital Terbaik daripada sebuah syarikat teknologi gergasi global ini. Kami amat menghargai hubungan bersama Huawei, di mana kami telah memulakan beberapa inisiatif kolaborasi yang menarik selama bertahun-tahun, dari rakan kongsi kepakaran dalam teknologi, anugerah filem, permainan digital dalam talian serta kandungan kami di platform mereka. Kami amat berpuas hati untuk menjadikan Huawei sebagai rakan kongsi kami, kerana Huawei merupakan salah satu syarikat teknologi yang tersohor di dunia, dan Media Prima sebagai kumpulan media terbesar di Malaysia. Kami menantikan lebih banyak kolaborasi bersama Huawei dalam lebih banyak bidang di masa akan datang,” katanya.

Bertemakan ‘Better Together’, Hari Pemaju Huawei yang telah diadakan di Kuala Lumpur bertujuan untuk mempamerkan evolusi ekosistem Perkhidmatan Mudah Alih Huawei dan memberikan penghormatan kepada ahli rakan kongsinya yang telah membantu pertumbuhan Huawei dengan 16 anugerah yang disampaikan merentasi pelbagai kategori.

Untuk rekod, ini adalah anugerah kedua Media Prima dalam kategori digital pada tahun ini.

Pada Mei 2022, REV Media Group, yang merupakan subsidiari digital Media Prima, telah dianugerahkan sebagai Penerbit Digital Terbaik, untuk tahun ketiga berturut-turut, di ‘Malaysian Digital Association d Awards 2022’.

Salma Syahbuddin