Categories: LIFESTYLE

Tabiat Merokok Antara Sebab Paru-Paru Berlubang.

Umum mengetahui bahaya merokok kepada kesihatan sendiri dan orang sekeliling. Dari gigi kuning sehinggalah kerosakan paru-paru dan juga kanser, rokok memberi kesan buruk kepada para penagih tidak kira dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Seorang Pakar Respiratori UiTM, Dr Nurul Yaqeen baru-baru ini berkongsi imbasan paru-paru seorang pesakit yang mengalami Pulmonary Langerhans Cell Histiocytosis (PLCH) didakwa berpunca daripada rokok sebagai faktor risiko utama.

PLCH berlaku apabila antigen yang terdapat di dalam asap rokok merangsang proses reaktif yang menghasilkan percambahan sel tertentu dipanggil sel Langerhans yang memasuki tisu paru-paru. Ia menyebabkan kewujudan kantung udara dalam tisu organ berkenaan.

Menurut laman Pulmonology Advisor, lebih 90% pesakit PLCH merupakan penghisap rokok sama ada masih aktif ataupun pernah merokok. Kebanyakan mereka pula berusia antara 20 sehingga 50 tahun tanpa mengira jantina.

Sementara itu, Chest Foundation pula berkata penyakit ini boleh menyebabkan masalah jangka masa panjang melibatkan kesukaran bernafas dan batuk kronik.

Antara simptom lain adalah;

  • batuk kering
  • sakit dada, terutama ketika menarik nafas dalam-dalam
  • jangkitan berulang
  • demam dan berpeluh pada waktu malam
  • penurunan berat badan
  • batuk darah
  • sakit tulang atau patah

PLCH boleh berkurang atau semakin stabil dengan menghentikan amalan merokok oleh pesakit manakala tabiat berterusan boleh menyebabkan perkembangan pembentukan tisu parut di dalam paru-paru. Oleh itu, berhenti merokok merupakan langkah paling penting dalam terapi, tulis laman berkenaan.

a) High-resolution CT scan menunjukkan imbasan paru-paru pesakit PLCH yang mempunyai rongga udara manakala gambar b) menunjukkan hasil imbasan 2 tahun kemudian setelah pesakit berhenti merokok. (Kredit: European Respiratory Review)

Bahkan, apabila paru-paru sudah berparut, tiada rawatan untuk memulihkan kerosakan berkenaan.

Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom di atas, jumpa doktor anda untuk pemeriksaan. Doktor akan mengambil sejarah kesihatan anda termasuk sama ada anda pernah terdedah terhadap zarah atau bahan kimia di rumah dan tempat kerja.

Selain itu, doktor juga akan bertanyakan tentang sejarah merokok serta penyakit paru-paru melibatkan keluarga pesakit.

Pemeriksaan fizikal seperti imbasan High-resolution CT scan (HRCT), ujian pernafasan serta biopsi paru-paru (ujian ke atas tisu paru-paru) juga mungkin dijalankan untuk diagnosis sekiranya pesakit disyaki menghidap PLCH.

Sumber: Dr Nurul YaqeenPulmonology AdvisorChest Foundation

SGMS Enal