Demi Anak-Anak, Adira Tak Jadi Cerai

Tidak mahu menjadi ibu yang mementingkan diri sendiri, penyanyi Adira bertindak untuk memperbaiki perkahwinannya dan menarik balik hasrat untuk bercerai dengan suami, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih mesra disapa sebagai Datuk Red. 

Pelantun lagu ‘Pujaan Hati’ ini berkata dia kini di dalam proses menarik balik permohonan cerai yang difailkan pada 9 Oktober lalu di Mahkamah Syariah Daerah Gombak Barat.

Baca: Adira Jawab Gosip Cerai…

“Ya, kami baru sahaja berbaik semula.  Anak-anak menjadi sebab utama saya memberikan peluang kedua kepadanya.  Saya sudah berfikir panjang dan saya tak mahu menjadi ibu yang terlalu mementingkan diri sendiri. 

“Seperti pernah saya katakan sebelum ini, apa sahaja boleh berlaku.  Jadi, doakan yang baik-baik untuk saya, suami dan anak-anak,” kata Adira kepada BH Online sewaktu menjayakan persembahan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Jumaat. 

Baca: Adira Akhirnya Mengaku Failkan Penceraian

Mungkin sesetengah orang akan membuat tanggapan yang penyanyi kelahiran Ranau Sabah ini seperti lalang, dan tidak teguh pendiriannya tetapi pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi ini tidak menghiraukan tanggapan orang terhadapnya. 

“Saya tidak meletakkan sebarang syarat kepadanya (suami).  Selagi saya boleh bersabar, saya akan cuba berbuat demikian.  Bagaimanapun, sebagai manusia, kesabaran saya ada hadnya.  Jangan langgar batas itu,” jelas Adira. 

Pasangan ini bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 di mana Adira merupakan isteri kedua kepada Datuk Red dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata yang masih kecil iaitu Anggrek, Asan dan Anggun. 

 

Kredit Foto: Instagram @adira.suhaimi

Del14