Categories: Oh Lawa

Ahli kongres AS termuda, Alexandria Ocasio-Cortez kongsi rutin penjagaan kulitnya

Selain berkongsi pengalamannya sebagai seorang wanita yang menjadi ahli kongres Amerika Syarikat, Alexandria Ocasio-Cortez juga menggunakan akaun Instagramnya untuk berkongsi rutin penjagaan kulit.

Sebelum ini beliau pernah berkongsi cara memakai kuku palsu (ketika itu beliau berada di dalam kereta api). Beliau juga ada menerangkan bagaimana dandanan rambutnya diinspirasikan dari negara asalnya, Puerto Rico.

Kini, wanita yang berumur 29 tahun ini mendedahkan rutin penjagaan kulitnya selepas seorang pengikutnya bertanya mengenai cara beliau mengekalkan kulit yang licin.

Satu daripada panduan yang dikongsikan adalah untuk mengelak daripada menggunakan bedak krim asas. Beliau lebih menggemari pelembap berwarna dan BB cream, selain hanya menggunakan tujuh produk solekan.

Beliau turut menyimpan tisu basah di tepi katil untuk menanggalkan solekan sebaik sahaja pulang ke rumah.

“Kita semua pernah tertidur sebelum solekan kita ditanggalkan sepenuhnya. Jadi mula hari ini, hentikannya dan amalkan guna tisu basah ini untuk membersihkan muka anda sebelum tidur,” kata Alexandria.

Beliau juga mengingatkan pengikut Instagramnya supaya tidak menggunakan sebarang produk penjagaan kulit yang mengandungi alkohol.

Foto: CNN.com

Rutin

Alexandria menggunakan teknik pembersihan berganda, yang mana dia menanggalkan dulu solekannya dengan minyak atau tisu basah, diikuti pembersihan menggunakan produk pencuci muka.

“Benarkan kulit anda untuk bernafas,” tegasnya.

Selepas mencuci muka, beliau memakai penyegar (toner) yang mengandungi witch hazel iaitu ekstrak kulit kayu dan daun Hamamelis Virginiana, diikuti serum yang mengandungi ramuan aktif seperti vitamin C dan retinol.

Beliau akhiri rutinnya dengan krim pelembap dan krim pelindung matahari, satu amalannya sejak beliau berumur 19 tahun.

Foto: Getty Images

Diet

Menerusi Instagram Story itu, Alexandria juga menyentuh topik pengaruh diet terhadap kesihatan kulit.

“Beberapa tahun lalu, muka saya asyik berjerawat jadi saya berhenti mengambil makanan tenusu. Masalah kulit saya terus hilang.

“Sekarang saya cuma kurangkan pengambilan bahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengikut media sosialnya supaya tidak terlalu mengawal pemakanan.

“Aktiviti makan sepatutnya menyeronokkan. Cuba berfikir apa yang terbaik untuk anda apabila anda diberi pilihan membabitkan makanan.

“Lambat-laun anda akan tahu bagaimana untuk membuat pilihan yang lebih baik sambil membenarkan diri anda menikmati apa yang anda hendak makan,” katanya.

Di bawah ini ialah syot layar Instagram Story Alexandria, jika anda ingin baca keseluruhan perkongsiannya.

Sumber: Elle

Ad Ops