Categories: Oh Lawa

Akauntan manfaatkan platform atas talian untuk memasarkan Lily & Orkid

Minat mendalam terhadap dunia fesyen mendorong seorang akauntan, Iylia Insyira untuk menghasilkan jenama fesyennya sendiri. Tahun 2017 menjadi titik permulaan buat gadis berusia 26 tahun itu untuk muncul dengan label fesyennya sendiri, Lily & Orkid.

“Lily & Orkid adalah passion saya. Hari bekerja saya berada dalam dunia korporat sebagai seorang akauntan, manakala hari minggu saya akan fokus terhadap hobi saya dalam dunia fesyen. Apa yang saya lakukan memberi kepuasan kepada kehidupan saya,” tutur Iylia sewaktu ditemubual Hijab & Heels.

Bermula dengan penjualan preloved di platform aplikasi jual beli, Carousell, koleksi Lily & Orkid kini mendapat tempat tersendiri di hati komuniti Carousell.

Lebih membanggakan apabila salah satu koleksi raya yang dilancarkan pada Aidilfitri lalu, Ramelah Kebaya dan koleksi skirt habis dijual dalam masa kurang daripada satu bulan di platform tersebut!

“Sebelum menggunakan Carousell sebagai platform untuk mempromosikan jenama Lily & Orkid, saya sendiri memang  pengguna tegar platform ini.

“Bagi saya, pemasaran dalam bentuk perniagaan mobil memang mudah dan berkesan,” tutur Iylia yang menjadikan pereka fesyen tempatan, Alia Bastamam sebagai idola fesyennya.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dan gembira dengan pencapaian yang diperoleh. Ia membangkitkan semangat saya untuk mengeluarkan koleksi dengan lebih banyak lagi.

“InsyaAllah, saya akan melancarkan koleksi kasual selepas ini. Selain itu, saya juga akan berjinak-jinak dalam penghasilan busana pengantin di mana pelanggan pertama saya adalah kakak saya!”

Lily & Orkid menampilkan koleksi moden kontemporari untuk jenamanya. Koleksi yang diketengahkan menggunakan material yang berkualiti dan harganya sangat berpatutan dengan kualiti jahitannya.

Layari Instagram dan Carousell Lily & Orkid untuk melihat atau menempah koleksi-koleksi jenama tersebut.

Ad Ops