Categories: AcaraOh Lawa

Ayda Jebat beri sentuhan peribadi untuk Anas Cosmetics

Suku pertama 2019 menyaksikan dua perkara besar berlaku terhadap kerjaya pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat (Ayda).

Pertamanya, single terbaru figura popular ini iaitu Temberang, mendapat sambutan luar biasa. 

Dalam kehangatan lagu nukilan Hael Husaini dan Ezra Kong itu berkumandang di corong radio, menyusul pula tawaran untuk Ayda menjadi duta produk Anas Cosmetics, baru-baru ini.

Berlokasikan Flora Terrace, sinergi antara Ayda Jebat dan Anas Cosmetics, bakal menyaksikan kemunculan kosmetik edisi menyeronokkan dan menepati cita rasa wanita.

Foto: Instagram Anasism

“Mengenali karekter Ayda Jebat, umum mengenali saya sebagai seorang yang penuh warna dan periang. Jadi pasaran untuk koleksi kali ini lebih kepada remaja.

“Kalau kita lihat sebelum ini, produk kosmetik yang dikeluarkan Anas Cosmetics, mungkin kesesuaiannya lebih kepada wanita berkerjaya, namun menerusi kerjasama saya dengan Anas Cosmetics ini, saya mahukan produk dengan harga mampu milik supaya semua wanita mampu mendapatkan koleksi ini,” kata Ayda.

Ayda mengakui beliau sendiri menggemari set mekap yang kecil memandangkan senang untuk diletakkan di dalam tas tangan, apa tah lagi wanita yang gemar membawa pelbagai benda di dalam beg tangan mereka. 

“Warna untuk palet mekap, gincu, pembayang mata dan pemerah pipi yang akan dikeluarkan terdiri daripada himpunan warna kegemaran saya iaitu semula jadi seperti merah jambu, oren dan coklat samar.

“Ibaratnya mengenakan solekan, tetapi seperti tidak bersolek. Ini kerana saya mahu wanita tahu, mereka masih boleh kelihatan cantik dengan menggunakan barangan kosmetik untuk meningkatkan kecantikan, tanpa perlu merubah wajah mereka dengan solekan yang tebal.

“Saya ingin wanita menghargai kecantikan semula jadi mereka,” kata Ayda lagi. 

Anas Cosmetics adalah jenama solekan pertama yang dipersetujui Ayda untuk menjadi duta sepanjang bergelar anak seni.

Anas Zahrin selaku pengasas Anas Cosmetics, gembira apabila Ayda sudi menjadi duta produk kosmetik keluaran syarikatnya. 

 

“Selepas dua tahun Anas Cosmetics berada di pasaran Malaysia dan setelah Anas menembusi pasaran antarabangsa iaitu Hong Kong, kami ambil keputusan melantik duta yang muda, fresh dan sedang meningkat naik malah namanya meniti di bibir masyarakat Malaysia.

“Disebabkan Ayda juga adalah sahabat baik saya, sudah lama saya menunggu momen ini untuk melantiknya sebagai duta Anas Cosmetics,” katanya.

Tambahnya, Ayda tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan dan beliau merancang menghasilkan satu produk ataupun koleksi baru yang lebih mudah dibawa kemana saja dan senang diperoleh. 

“Paling penting, ia didatangkan dengan harga yang boleh dimiliki oleh sesiapapun,” katanya. 

Koleksi sinergi antara Ayda Jebat dan Anas Cosmetics ini bakal dilancarkan pada April ini dan bakal menjadi promosi hangat pada Ramadan nanti. 

Foto: Instagram Ayda Jebat

Selain itu, produk kosmetik ANAS turut menampilkan beberapa selebriti jelita seperti Rozita Che Wan untuk edisi produk maskara, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan dan Intan Liana Salleh sebagai wajah rasmi.

Yanie Baharom