Categories: Oh Lawa

Sentuhan Magis Raffiey Nasir Jadi Pilihan Selebriti Hollywood

Nama pereka ini tiba-tiba meledak selepas gaun perkahwinan rekaan Carven Ong yang menghiasi babak perkahwinan epik menerusi filem Crazy Rich Asians, menjadi tular dan diperkatakan seluruh dunia.

Semestinya perkhabaran ini satu yang cukup membanggakan industri fesyen tempatan.

Tapi tahukah anda sebelum Carven mencuri tumpuan dunia, busana rekaan Datuk Bernard Chandran dan Farah Khan juga pernah diperagakan selebriti antarabangsa?

Namun yang paling kerap menghantar tempahan baju ke Hollywood untuk diperagakan beberapa selebriti ternama di sana adalah Raffiey Nasir.

Foto: Instagram Raffiey Nasir

Antara yang pernah menyarungkan busana indah rekaannya adalah penyanyi Ashanti, Kimmy Gate Wood dan Tana Mongeau.

“Tentunya saya berbangga melihat artis antarabangsa menyarungkan pakaian saya kerana aprisiasi seperti itu hampir mustahil untuk diraih apatah lagi terdapat banyak brand besar dan berpengaruh di sana.

“Walau bagaimanapun saya berbangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada industri fesyen Singapura dan Malaysia. Bekerja dengan Hollywood memang mencabar dan stress terutamanya membabitkan dateline yang diberikan,” katanya.

Meskipun memegang status warganegara Singapura, namun karier pemuda berusia 31 tahun ini sebagai pereka fesyen bermula di Malaysia.

Foto: Instagram Raffiey Nasir

Menceburi bidang rekaan fesyen seawal usia 17 tahun, Raffiey mendapat pendidikan fesyen secara formal di Universiti Lim Kok Wing, Kuala Lumpur.

Bertatih-tatih mencipta nama di Malaysia, Raffiey membina kepercayaan di kalangan selebriti tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Shila Amzah, Stacy, Raja Ilya dan ramai lagi, untuk menyarungkan rekaannya.

Hijab & Heels ucapkan semoga Raffiey Nasit terus sukses!

Foto: Instagram Raffiey Nasir

Yanie Baharom