Categories: Sihat

Endometriosis, antara punca wanita sukar untuk hamil

Menikah sudah lama, tetapi masih belum juga dikurniakan zuriat.

Tidak dapat dinafikan Allah SWT lebih tahu saat dan waktu yang terbaik buat umatNya. 

Tetapi perlukah kita berdiam sahaja tanpa melakukan ikhtiar?

Sebagaimana diketahui umum, terdapat beberapa jenis penyakit yang dikaitkan sebagai penyebab wanita gagal untuk hamil. Antaranya kanser ovari, kanser serviks dan satu lagi yang jarang didengari, endometriosis.

Endometriosis ialah sejenis penyakit yang biasa dialami wanita peringkat umur antara 30 hingga 45 tahun. 

Penyakit ini bukan kanser, sebaliknya dikenal pasti sebagai sebahagian lapisan tisu dalam rahim yang ditemui pada bahagian lain dalam badan seperti usus dan organ reproduktif.

Lazimnya, endometriosis kerap ditemui di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus. 

Bagi wanita yang cuba hamil, endometriosis boleh menjejaskan kesuburan terutama jika terdapat pada ovari atau tiub follopian. 

Antara gejala endometriosis

•        Mengalami haid banyak dan tidak teratur
•        Senggugut atau sakit ketika haid 
•        Sakit ketika hubungan seks 
•        Sakit di bahagian pelvis dan bawah abdomen pada pertengahan haid 
•        Memberi kesan kepada keupayaan wanita untuk hamil 

Bagaimana kesuburan wanita boleh terjejas dengan kewujudan endometriosis?

Foto: Homeopathic Associates

Jika endometriosis muncul pada satu atau kedua-dua belah ovari, ia boleh menjejaskan kualiti telur sekali gus mencegah kehamilan.

Ketika di lapisan tiub follopian, ia dapat menghentikan telur dari berenang ke rahim untuk proses persenyawaan. 

Pakar perubatan juga menunjukkan endometriosis boleh merosakkan sperma lelaki setelah dibebaskan dalam tubuh wanita. 

Walaupun alasan ini tidak diketahui secara jelas, namun endometriosis menyebabkan keradangan dalam tubuh dan menjejaskan sperma dan juga telur. 

Rawatan endometriosis

Foto: iStock

Malangnya, endometriosis ini tidak dapat disembuhkan tapi ia boleh dirawat dengan baik. Biasanya doktor akan mencuba beberapa prosedur sebelum pesakit menjalani pembedahan. 

Ubat tahan sakit – Tanda endometriosis paling jelas adalah sakit sebelum dan selepas haid. Doktor boleh mengesyorkan ubat biasa seperti paracetamol atau ibuprofen. 

Terapi hormon – Ketika haid, hormon ada naik dan ada turun. Ini menyebabkan tisu endometrium di luar rahim menebal dan berdarah. Oleh itu, ubat hormon dapat melambatkan proses penebalan ini sehingga mengurangkan rasa sakit. 

Pembedahan endometriosis – Melibatkan penghapusan ketumbuhan endometrium dan melindungi ovari serta rahim anda. Ia biasanya dilakukan melalui laparoskopi. 

Ketika ketumbuhan dikeluarkan, kualiti telur bertambah baik dan ini membuka peluang wanita untuk hamil. 

Sekiranya doktor mengizinkan, anda boleh cuba hamil selepas dua minggu pembedahan. 

Bagaimanapun, jika selepas pembedahan masih tiada tanda-tanda hamil anda boleh mencuba prosedur lain seperti pembekuan telur, Intrauterine Insemination (IUI), IVF atau ubat kesuburan.

Selamat mencuba!

Sumber: The Asian Parent

Yanie Baharom