Categories: Sihat

Jangan Ambil Mudah Tentang Penyakit Beguk, Ia Mudah Berjangkit!

Baru-baru ini, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak telah ditutup buat sementara waktu ekoran jangkitan wabak beguk. Penutupan ini menunjukkan bahawa penyakit ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh!

Apa yang anda tahu tentang penyakit beguk ini? Sejauh mana anda tahu tentang bahayanya penyakit ini? Bagaimana untuk elak daripada terkena jangkitan ini? Ataupun macam mana cara untuk merawatnya?

Penulis kongsikan info penting berkaitan penyakit beguk yang perlu anda ketahui. Jom semak!

Foto: Smasanews.com

Apa itu penyakit beguk?

Beguk merupakan satu penyakit disebabkan oleh virus. Ia akan menyebabkan bengkak dan rasa sakit pada kelenjar parotid. Bahayanya, penyakit ini mudah berjangkit dan virus boleh merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Selain itu, penyakit ini boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.

Tanda dan gejala

Untuk pengetahuan anda, tanda dan gejala jangkitan bermula selepas 12 hingga 25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka mungkin mengalami seperti:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Mulut kering dan hilang selera makan
  • Keletihan
  • Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid

Gejala ini biasanya akan hilang dalam masa 10 hingga 12 hari.

Foto: Suara Hati

Apakah komplikasi yang boleh berlaku?

Mungkin sesetengah daripada anda menganggap penyakit ini tidak berbahaya kerana ia akan pulih dengan sepenuhnya. Tapi, penyakit ini juga boleh menimbulkan komplikasi seperti:

  • Encephalitis (pembengkakan pada otak).
  • Meningitis (pembengkakan pada lapisan otak).
  • Pancreatitis (inflamasi pada pankreas).
  • Orchitis (lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa.
  • Pekak

Bagaimana untuk merawat?

Tiada ubat yang khusus untuk merawat beguk ini. Tetapi simpton-simptom boleh dilegakan dengan:

  • Makan paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit.
  • Mengambil lebih minuman tetapi elakkan minum jus yang berasid.
  • Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.

Bagi mereka yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva ataupun sehingga bengkak tersebut hilang.

Bagaimana untuk cegah penyakit ini?

Foto: Mstar

Sebenarnya, penyakit beguk ini boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun sebagai sebahagian vaksin MMR iaitu mumps, measles and rubella. Ianya sangat berkesan untuk mencegah penyakit beguk ini.

Kesimpulannya, bagi anda yang mempunyai anak kecil pastikan anak anda mendapatkan vaksin beguk ini. Ingat, vaksin amat penting untuk melindungi anak anda daripada penyakit. 

Sumber: Myhealth & Astro Awani

tex_admin