Categories: Gaya HidupTech News

Pandemik Jadi Titik Tolak 2 Sahabat Bangunkan Aplikasi Cuci Kereta

Sektor ekonomi dalam dan luar negara semestinya terjejas dek kerana pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh pelusuk dunia.

Namun begitu, keadaan ini memberikan hikmah tersendiri kepada ramai peniaga di luar sana untuk menjadi lebih kreatif dalam menjana pendapatan.

Usahawan Mohd Amirol Isa Izani dan rakan kongsinya, Mohd Noor Hisham Hashim yang mengusahakan perniagaan mencuci kereta tampil dengan sebuah aplikasi dikenali sebagai Hive.

Menariknya, aplikasi ini membolehkan pelanggan membuat tempahan mencuci kereta secara atas talian.

“Perkhidmatan mencuci kenderaan sebenarnya mendapat permintaan tinggi namun kekurangan promosi, kemahiran serta pandemik membuatkan banyak premis terpaksa gulung tikar.

“Pandemik menjadi antara sebab terhasilnya idea untuk menghasilkan Hive. Sejak pandemik ramai pengusaha car wash yang terkesan. Jadi, pelanggan juga semakin kurang.

“Saya terfikir bagaimana hendak membantu pemilik-pemilik perniagaan ini memandangkan saya sendiri mempunyai sebuah pusat mencuci kereta. Saya mula membangunkan aplikasi itu sejak setahun lalu,” kata Amirul.

Hive jelasnya adalah sebuah ekosistem basuhan kereta pertama di Malaysia yang menghubungkan pengguna dengan tempat mencuci kereta, pembekal produk basuhan kereta, insurans serta pengiklanan dalam satu platform yang sama.

Ia juga katanya sebagai satu program pembangunan usahawan pusat mencuci kereta di mana mereka boleh mendaftarkan perniagaan mereka dalam aplikasi itu bagi memudahkan pelanggan membuat carian.

“Saya tahu, ramai yang mempunyai bisnes car wash sedang dalam masalah, lebih-lebih lagi tatkala tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

“Mereka boleh menggunakan aplikasi ini untuk mendapatkan tempahan awal daripada pelanggan. Kemudahan yang disediakan dalam aplikasi ini pastinya membolehkan pelanggan mengetahui terlebih dahulu servis yang disediakan sebelum membuat tempahan.

“Dalam tempoh PKP ini juga, pengusaha terutama yang baharu boleh membuat kajian terhadap servis yang pelanggan mahukan seterusnya membuat promosi.

“Jadi selepas tempoh PKP, mereka sudah mempunyai pelanggan yang membuat tempahan awal,” katanya yang membuka peluang kepada pengusaha cuci kereta baharu untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan.

Sejak dilancarkan pada awal April, Mohd Amirol memberitahu aplikasi itu sudah pun mengumpulkan 60 pusat cucian kereta yang berdaftar dengan aplikasi itu yang boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play itu.

Padin