Categories: Trending

1,000 Masjid Musnah Dibom Tentera Isra*l

Pihak berkuasa tempatan kota Gaza melaporkan sebanyak 1,000 masjid telah dimusnahkan sejak 7 Oktober lepas.

Difahamkan, jumlah keseluruhan rumah ibadat bagi umat Islam itu dianggarkan kira kira 1,200 buah di Semenanjung Gaza.

Memetik Berita Harian, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Gaza mendedahkan bahawa lebih 100 pendakwah Islam turut terbunuh dalam serangan maut Israel di wilayah pinggir laut itu.

“Pendudukan Israel terus memusnahkan puluhan tanah perkuburan dan menggali kubur dan mencuri mayat yang jelas bertentangan dengan piagam antarabangsa dan hak asasi manusia,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihak kerajaan bakal menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk membaik pulih masjid yang runtuh.

“Pembinaan semula masjid-masjid ini akan menelan belanja sekitar AS$500 juta (RM2.36 bilion) ,” katanya.

Sementara itu, serangan Israel turut menyaksikan kerosakan serta kemusnahan sebuah gereja, beberapa bangunan pentadbiran, pusat pengajian al-Quran, dan ibu pejabat bank.

“Kami merayu kepada negara-negara Arab dan Islam serta orang-orang yang berhati nurani untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” katanya lagi.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 25,105 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta 62,681 mengalami kecederaan.

Sumber : BH Online

Syamir Shafie