Categories: Trending

8 tahun terima jambangan bunga misteri kiriman mendiang suami…

Masih menerima jambangan bunga setiap kali tibanya Hari Kekasih dari mendiang suami, mahu dikategorikan sebagai kisah seram atau cinta epik?

Tak masuk akal bukan bagaimana si mati boleh mengirimkan bunga kepada isteri tercinta sedangkan jasadnya sudah terkubur sejak lapan tahun lalu. Namun berita pelik adalah benar!

Ia mengisahkan mengenai mendiang Richard Cox, yang merupakan pelanggan tetap sebuah kedai bunga yang terletak di Kentucky, Amerika Syarikat.

Sebelum Rich menemui ajalnya pada 2012, mendiang telah melaburkan sejumlah wang untuk kedai bunga berkenaan, supaya apabila beliau meninggal nanti penghantaran bunga setiap kali menjelang Hari Kekasih tetap dapat dilakukan.

Foto: Fox 6

Apatah lagi sambutan ulang tahun kelahiran isterinya, Tracey Cox,  jatuh pada 13 Februari iaitu selang sehari dengan sambutan Hari Kekasih.

Kali pertama menerimanya pada tahun 2013, Tracey mengakui cukup terkejut dengan perancangan mendiang suaminya.

“Ia membuatkan saya beremosi. Memang menyedihkan, tetapi saya gembira kerana ia membuatkan saya tahu dia sentiasa bersama saya,” kata Tracey kepada CNN.

Penghantaran bunga itu tidak terhenti di situ. Setiap tahun, akan ada jambangan bunga bersama nota cinta dikirimkan kepadanya di mana ucapan saban tahun juga berbeza-beza.

“Walaupun awak tidak nampak, tetapi saya sentiasa berada di sisi awak,” itu catatan nota yang dikirim pada 2018.

Selama 26 tahun berkahwin, Tracey menyifatkan Rich sebagai lelaki yang penyayang, mengambil berat dan sensitif. Malah sering membuat kejutan dan menghadiahkan bunga meskipun bukan pada hari istimewa seperti ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan termasuk Hari Kekasih.

Tracey yang kini meneruskan kehidupan bersama empat anak mereka, kehilangan Rich pada 2012 yang meninggal di usia 53 tahun akibat kanser tekak.

Foto: Archive Hijab & Heels

Yanie Baharom