Categories: FeaturedTrending

80 peratus kit ujian gagal berfungsi, penduduk Sepanyol dan Republik Czech rasa tertipu

Jumlah kes jangkitan COVID-19 di sesetengah negara yang terus meningkat naik, menyebabkan kebanyakan hospital tidak lagi mampu menerima kes pesakit baharu.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan kelengkapan perubatan yang semakin berkurangan, ruang hospital dipenuhi pesakit yang masih belum pulih termasuk pesakit di bawah pengawasan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Justeru itu, sesetengah penduduk di beberapa negara terdesak untuk mendapatkan kit ujian bagi membolehkan mereka membuat pemeriksaan sendiri, sebelum bertindak mendapatkan rawatan di hospital. Dengan cara itu mereka berharap tidak perlu lagi menunggu keputusan ujian makmal yang mengambil masa lama kerana faktor giliran.

Foto: DCD GOV

Sebaliknya yang berlaku pada ratusan ribu penduduk di Sepanyol dan Republik Czech, kit ujian yang dibeli mereka untuk membuat pemeriksaan sendiri, tidak berfungsi sekali gus mencetuskan rasa kecewa dan kebimbangan melampau.

Berdasarkan laporan yang dikongsikan VOA news, dianggarkan sebanyak 80 peratus daripada 150,000 unit jumlah kit ujian yang ditempah dua negara itu tidak berfungsi.

Tambah menyedihkan bayaran untuk 100,000 unit kit ujian yang ditempah beranggaran $546,000 (RM2.37 juta), sudah pun dibayar kepada pihak pembekal, China.

Lazimnya, selepas menggunakan kit ujian COVID-19, keputusan positif atau negatif boleh dilihat dalam masa antara 10 hingga 15 minit.

Melihatkan situasi yang berlaku, membuatkan penduduk Sepanyol dan Republik Czech berasa tertipu di saat sedang memerlukan.

Berikutan kegagalan kit ujian yang diedarkan, penduduk negara berkenaan terpaksa mengikuti prosedur makmal yang mengambil masa lama untuk mengesahkannya.

Selepas berita itu tular, syarikat Shenzhen Bioeasy Technology dari China bersetuju untuk menggantikan kit ujian yang baharu buat pengguna di Sepanyol dan Republik Czech dalam usaha menangani wabak merbahaya ini.

Sehingga 5 April 2020, Sepanyol sudah mencatat lebih 126,168 kes positif COVID-19 dan 11,947 kes kematian menjadikan Sepanyol muncul negara kedua selepas Amerika.

Yanie Baharom