Categories: Trending

Achey Tumpang Populariti Anak Demi Mencari Rezeki? – “Ini Adalah Untuk Masa Depan Tiara…”

Pelawak Achey tidak menyangkal dakwaan dia menumpang populariti anak, Nur Tiara Zinnirah demi perniagaan.

Menurut Achey, dia bukanlah menggunakan populariti anaknya untuk tujuan mengarut sebaliknya lebih menjurus kepada perkara yang berfaedah.

Lagi pula, perniagaan gula-gula dan coklat yang Tiara usahakan itu mendapat sambutan hangat.

Memetik laporan Berita Harian, Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah mendedahkan hasil keuntungan jualan dilaburkan untuk membeli van jenazah yang digunakan bagi tujuan kebajikan.

“Memang saya gunakan populariti anak saya, tetapi lebih kepada perkara positif, bukannya mengarut.

“Saya pulangkan semula keuntungan perniagaan itu dengan membeli van jenazah untuk tujuan kebajikan,” katanya.

Achey juga mahu Tiara mengenal erti susah dan mengharapkan anaknya dapat belajar betapa sukarnya untuk mencari duit sejak kecil.

Dalam pada itu, Achey mengakui tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan tabungan kewangan untuk masa depan Tiara.

“Setiap 10 peratus keuntungan, kami masukkan ke dalam akaun simpanannya. Ini kerana kami mahu Tiara tahu duit itu adalah hasil titik peluhnya berniaga sejak kecil.

“Sebenarnya, ada banyak lagi perancangan disusun untuk Tiara. Semuanya dilakukan untuk masa depannya,” jelas Achey.

Terdahulu, sejumlah 3,000 pek gula-gula laris terjual dalam masa dua jam sahaja.

Tiara yang baharu berusia lima tahun menjual Tiara Bottle Candy iaitu makanan ringan pelbagai jenis menerusi platform TikTok Shop milik Achey.

Sumber : BH

Syamir Shafie