Janna Nick Takut Teruskan Shooting Drama Surat Dari Tuhan, Bimbang Perkataan Jahat Dimakbulkan ‘On The Spot’ –  “Saya Istighfar Bila Keluarkan Kata Kesat”

Pelakon, penyanyi dan pengacara sensasi, Janna Nick mengakui bukan mudah untuknya menjalani penggambaran drama bersiri Surat Dari Tuhan.

Menurut Janna yang  memegang watak utama sebagai menantu jahat, drama ini merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan mesej positif.

Dalam pada itu, dia mengakui watak ini adalah yang paling jahat pernah dibawa.

“Sepanjang penglibatan dalam seni, ini merupakan watak paling jahat pernah saya bawa. Namun, jauh di sudut hati, saya rasa sedih dengan watak Misha.”

“Ada kala apabila saya tengah shoot, terutama di Mekah dan Madinah, saya jadi takut untuk teruskan scene tertentu. Risau perkataan yang jahat dari mulut watak Misha tu dimakbulkan,” katanya.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Nakal ini juga berkata,  dia sentiasa beristighfar setiap kali mengungkapkan kata-kata kesat di sana demi tuntutan kerja.

“Saya banyak istighfar setiap kali scene yang keluarkan kata-kata kesat.

“Saya pasti watak jahat saya ini bakal menjentik emosi penonton dan harap drama ini dapat sampaikan mesej yang mendalam kepada penonton,” jelasnya.

Sekadar info, Surat Dari Tuhan merupakan drama terbitan Mache All Star United Sdn Bhd dan diarahkan oleh Pali Yahya. Naskhah itu hasil karya Rozie Rashid dan Soula Nordin.

Drama Surat Dari Tuhan mengisahkan dugaan yang melanda hidup Ryan (Shukri Yahya) yang berkahwin dengan Misha yang bersifat talam dua muka.

Kisah bermula apabila Ryan memberi peluang kepada Misha dan berkahwin dengannya, biarpun gadis itu memutuskan pertunangan mereka beberapa hari sebelum hari bahagia.

Biarpun tidak dipersetujui ibu Ryan, iaitu Rafilah (Sheila Mambo) tetapi Ryan yakin Misha sudah berubah. Namun, berlaku insiden di mana Rafilah terjatuh dari tangga selepas ditolak Misha. Layanan Misha semakin menjadi apabila Ryan membawa mereka menunaikan umrah bersama.

Sepanjang di Madinah, Misha tidak membantu Rafilah memudahkan perjalanannya, malah cuba membunuh ibu mentuanya itu.

Sekembalinya Ryan dari Makkah, satu persatu masalah timbul. Rakan kongsi perniagaannya melarikan wang syarikat menyebabkan Ryan terjerumus dalam hutang.

Ketika itu, hadir Suzana (Ummi Nazeera) yang juga pelanggan setia Ryan yang cuba membantunya menyelesaikan hutang. Kehadiran Suzana membuatkan Ryan selalu tenang dalam menghadapi badai yang melanda keluarganya.

Drama Surat Dari Tuhan akan mula bersiaran pada 30 Oktober 2023, setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam di  TV3.

Drama ini juga boleh distrim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Salma Syahbuddin