Categories: Trending

Adrian & Amyza Aznan Lagukan Salam Sayang

Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi. Ini merupakan tahun kedua kita bakal menyambut Syawal dalam norma baharu.

Semestinya perasaan rindu pada kampung halaman, keluarga dan sanak saudara semakin menebal. Mana tidaknya, sudah dua tahun kemeriahan Aidilfitri tidak dapat disambut dengan sanak saudara yang jauh dan dekat.

Pasti banyak cerita yang ingin dibualkan di pagi raya nanti. Hanya panggilan video sahaja sebagai pengubat rindu.

Melihat situasi ini, Media Prima Berhad melalui syarikat rakaman Monkey Bone, mengambil peluang menghasilkan sebuah lagu yang dapat menyampaikan perasaan rindu kepada keluarga dan insan-insan tersayang.

“Salam Sayang” boleh dikatakan sebagai penghubung dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri tahun ini. Walau jarak memisahkan, tetapi bulan kemenangan ini tetap disambut dengan kemeriahan. Lebih istimewa lagu ini juga diangkat sebagai lagu tema Aidilfitri Media Prima Berhad.

Lagu gubahan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Acap ini telah disampaikan dengan baik sekali oleh pasangan ibu dan anak popular, Amyza Aznan dan Adrian.

Mereka merupakan peserta dan juga pemenang bagi rancangan Famili Duo Episod 4 yang telah bersiaran di TV3.

Semua pihak bersetuju apabila kali pertama pasangan ibu dan anak ini dicalonkan untuk merakamkan lagu ini.

Aura mereka, keletah mereka menjadi aspek penting dalam pemilihan kali ini. Seperti yang diduga, dengan bantuan komposer terkenal, Sharon Paul, lagu ini sangat menepati citarasa setiap pendengar.

Sebagai seorang penyanyi cilik, Adrian mempunyai satu jalan yang baik di ruang industri hiburan dengan anugerah suara yang telah dikurniakan. Dilamar oleh Monkey Bone, Adrian juga dalam proses menyiapkan single pertama beliau.

Dengarkan Salam Sayang di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKbox , Deezer dan juga Joox bermula 30 April.

Juga nantikan muzik video Salam Sayang di saluran Youtube Monkeybone pada 1 Syawal ini.

Padin