Categories: Trending

“Dah Bertahun Tak Makan Pedas, Tapi Masa Hamil Anak Kedua…” – Scha Alyahya

Pelakon dan pengacara terkenal Scha Alyahya mendedahkan dia mengidam makanan pedas ketika hamil anak keduanya, Lyla Amina.

Perkara terbabit membawa kepada penghasilan produk sambal garing jenama Schambal yang diusahakan oleh Scha bersama suaminya, pengacara Awal Ashaari.

“Ilham untuk datang dengan produk Schambal ketika saya hamilkan anak kedua. Dulu, saya pernah terkena penyakit appendiks. Selepas itu, memang tak menikmati makanan pedas langsung, dah bertahun lamanya.

“Tapi masa hamil anak kedua, saya mengidam untuk makan sesuatu yang pedas. Rasa teringin sangat. Ramai yang memberikan saya sambal tapi kebanyakannya adalah sambal basah.

“Saya berbincang dengan Awal, saya nak sambal yang mudah, cepat dan segera, jadi timbul idea untuk menghasilkan Schambal, sambal garing bersama ikan bilis dan tempe. Kami mengambil masa enam bulan untuk muncul dengan produk ini,” kata Scha.

Tambah bekas pengacara Muzik Muzik ini, produk yang dikeluarkan menggunakan jenama Amina Food itu dinamakan sempena anak keduanya, Lyla Amina.

“Sejujurnya, sudah lama saya dan Awal menyimpan hasrat nak keluarkan produk makanan bersama penyokong yang memberikan sambutan tanpa henti. Syukur, ia telah menjadi kenyataan menerusi Amina Food.

“Kami menggunakan nama anak kedua kami, Amina sebagai jenama produk ini. Diharap mampu membuka peluang rezeki buat ramai orang di luar sana. Pencarian stokis akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Schambal pasti menambat selera, rangup, pedas dan mudah dinikmati bersama hampir semua makanan kegemaran anda,” katanya.

Padin