Categories: Trending

Aina Abdul Cerita Pengalaman Suka Duka Mulakan Karier Dalam Sepi

Penyanyi Aina Abdul membuka tahun 2021 dengan melahirkan karya terbaharunya yang berjudul Sepi.

Merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh wanita muda ini, Aina mahu peminat merasa sepi bersama dengannya.

“Setiap tahun, saya akan mempertaruhkan lagu balada. Sepi merupakan lagu balada ketiga selepas Sumpah dan Semalam.

“Sepi menampilkan perbezaan berbanding Sumpah dan Semalam. Menerusi Sepi, saya ingin menceritakan tentang perjalanan seseorang yang ingin keluar dari kepompong yang biasa dihadapinya, keluar dari comfort zone, nak melebarkan sayap dan jangan takut untuk nekad membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri.

 

“Ia menceritakan kesusahan lampau itu boleh mengajar dan menguatkan lagi seseorang. Saya mula berkarya bermula 3 Oktober 2020 dan menyiapkan Sepi lebih kurang sebulan selepas itu,” kata Aina.

Kali ini, juara Vokal Mania ini turut menggunakan khidmat pemuzik untuk merakam instrumental, antaranya Ujang (drum), Fly (bass) dan Nazrin (gitar).

Dalam pada itu, Aina turut muncul dengan muzik video Sepi yang mendapat sentuhan Zulherizal Studio selaku pengarah.

“Untuk pengetahuan semua, saya bermula sebagai penyanyi gig di restoran, kelab dan lounge. Saya masukkan pengalaman saya dalam muzik video ini.

“No Black Tie dipilih menjadi lokasi muzik video Sepi kerana saya pernah mencari rezeki di sana dengan menyanyi setiap malam.

 

 

“Persekitaran lokasi terbabit sangat dekat dengan jalan cerita Sepi. Dari situ, saya keluar mengenali dan meneroka ke dunia lebih luas lagi. Apa yang saya paparkan dalam muzik video terbabit adalah antara kisah suka duka serta kejadian yang pernah saya lalui sendiri sebelum dikenali sebagai penyanyi mainstream,” katanya lagi.

Jika sebelum ini, Sumpah mengetengahkan isu kesihatan mental dan Semalam memberikan perhatian kepada isu keganasan rumah tangga, Sepi pula bercerita perihal menyayangi diri sendiri.

“Saya cuba bawakan mesej tentang self-empowerment. Daripada kisah yang pernah dilalui sendiri, saya cuba untuk memberi inspirasi kepada orang di luar sana bahawa ‘you are the owner of your destiny, and nobody else can change but you’.

“Dahulu Aina menyanyi di restoran dan kelab-kelab tapi saya berusaha keras dan nekad untuk pergi lebih jauh untuk merealisasikan impian dan mahu karya saya didengari.

“Selain itu, jika lirik lagu ini diperhalusi, ia juga sesuai dengan situasi semasa tatkala kita semua berhadapan dengan pandemik.

“Ramai yang terkesan dengan keadaan sekarang, ada yang dibuang kerja, ada yang sukar mencari rezeki dan banyak lagi.

“Kita juga melihat ramai anggota barisan hadapan yang terus kekal berjuang walaupun penat bekerja bagi kerana terlalu letih serta mereka yang bersusah payah untuk mengekalkan kehidupan di waktu mencabar ini.

“Jangan kecewa dan mengalah, teruskan berusaha kerana Insya-Allah, apa juga halangan yang mendatang pastinya dapat diatasi kerana ada sinar yang menanti,” katanya lagi.

Single Sepi boleh dengar di kesemua saluran muzik digital bermula 8 Februari 2021 dan muzik video Sepi boleh ditonton di saluran YouTube Aina Abdul.

Padin