Categories: Trending

AJL 38: Sah Tarik Diri, Afieq Shazwan Bakal Ganti Jamal Abdillah

Syarikat rakaman FMC Music mengesahkan bahawa penyanyi Datuk Jamal Abdillah telah menarik diri dari menyertai Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38), pada tahun ini.

Menerusi kenyataan media dari pihak syarikat rakaman itu, keputusan tersebut dibuat setelah mendapat persetujuan bersama antara pihak Jamal, pihak penerbitan dan FMC Music mewakili pencipta lagu.

“Pihak kami tidak dapat berbuat apa apa jika keputusan itu telah dibuat sendiri oleh Datuk Jamal dan dipersetujui oleh pihak penerbitan.

“Sebelum itu Datuk Jamal sendiri ada memberitahu saya untuk menarik diri, namun saya mencadangkan agar Datuk Jamal memaklumkan sendiri pada pihak penerbitan AJL kerana perkara ini terletak di luar bidang kuasa kami selaku syarikat yang menerbitkan lagu,” kata C.F Ho selaku Pengarah Urusan FMC Music.

Dalam pada itu, FMC Music turut mengumumkan penyanyi Afieq Shazwan bakal menggantikan Jamal untuk berduet dengan Wany Hasrita pada malam berprestij itu nanti.

“Setelah berbincang dengan pencipta lagu Ku Cuma – Ezra Kong . FMC Music telah bersetuju untuk menamakan penyanyi Afieq Shazwan sebagai penganti Datuk Jamal untuk berduet bersama Wany Hasrita dipentas akhir Anugerah Juara Lagu nanti.

“Keputusan pemilihan ini dibuat berdasarkan kredibiliti dan kemampuan Afieq. Kami yakin Afieq mampu memberikan persembahan dan kerjasama yang baik dengan Wany Hasrita,” jelasnya.

 

Fatin Nurain