Categories: Trending

Ambil Pekerja Orang Kurang Upaya, REV Media Group Terima Anugerah Majikan Prihatin

REV Media Group (dahulu dikenali sebagai Media Prima Digital Sdn Bhd) telah dipilih sebagai salah satu penerima anugerah ‘Majikan Prihatin’ oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini di atas usaha mengambil Mohd Akmal Bin Shapii, seorang kurang upaya (OKU) sebagai pekerja di bawah Insentif Pengambilan Pekerja (Program PenjanaKerjaya 3.0).

Mohd Akmal, 25, merupakan Eksekutif Jurutera Data di REV Media Group dan telah mula berkhidmat sejak bulan Jun lalu ketika negara masih dalam fasa pandemik.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) pada hari ini bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Program hari ini merupakan kesinambungan usaha Kementerian Sumber Manusia, dalam usaha memberikan peluang yang sama rata kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ini membuktikan tiada golongan yang terabai mahupun tercicir oleh Kementerian Sumber Manusia termasuk golongan Orang Kelainan Upaya yang perlu diberikan peluang pekerjaan yang sama rata, seperti pencari kerja yang lain,” kata Saravanan.

Akmal tergolong dalam golongan OKU kategori kurang upaya fizikal di mana seseorang individu itu mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu anggota di mana-mana bahagian anggota badan termasuklah keadaan anggota yang tidak sempurna yang mana keadaan ini akan menjejaskan keupayaannya.

Menurut Akmal, dia merupakan seorang yang normal ketika lahir namun selepas kejadian terjatuh dari buai ketika berumur tiga bulan, kakinya patah dan semakin lemah dan sudah tidak mampu untuk berjalan.

“Saya mula menggunakan kerusi roda sejak dari zaman sekolah rendah. Sebelum itu masih boleh berjalan seperti biasa namun selepas beberapa kali kejadian kaki patah, doktor mengesahkan saya mengalami osteogenesis imperfecta, gangguan tulang sejak dari dari lahir.

“Umum sedia maklum ada sesetengah majikan di luar sana yang beranggapan OKU ini menjadi beban kepada mereka. Majikan di luar sana tidak perlu berasa takut untuk mengambil warga OKU bekerja kerana kami juga boleh bekerja seperti orang biasa.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada REV Media Group, Media Prima, dan PERKESO kerana percayakan saya dan memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada syarikat,” kata Akmal.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata, “Kami semestinya berasa bangga dengan kehadiran Akmal dan percaya dia boleh berkongsi bakatnya sama seperti orang lain. Di REV Media Group dan di Media Prima umumnya, kami mengalu-alukan bakat yang pelbagai tidak kira dari sesiapa pun.”

Padin