Categories: Trending

“Apa Yang Berlaku, Saya Tak Perlu…” – Persembahan Peluang Kedua AJL35 Dapat Kritikan & Trending Di Twitter, Ini Respons Nabila Razali

“Alhamdulillah, berakhir juga malam ni. Dah selesai. Walaupun berlangsung tak seperti saya jangkakan, saya gembira dengan apa jua yang telah saya sampaikan malam ini,” kata penyanyi Nabila Razali mengenai persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

Menyampaikan lagu Peluang Kedua, Nabila memberikan respons mengenai persembahannya yang mendapat kritikan dan trending di laman sosial Twitter.

“Terima kasih kepada team saya. Semua kerja keras datang daripada mereka. Ini bukan pengakhiran, selepas ini ada ada lagi rezeki yang lebih besar, Insya-Allah.

“Jujur saya katakan, saya belum periksa lagi telefon pintar saya. Tapi harapnya apa yang trending tu yang baik-baik sahaja.

“Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada pihak TV3 atas peluang yang diberikan dan kepada team saya yang selalu memberikan sokongan,” katanya ditemui usai AJL35.

Menilai persembahannya di pentas berprestij itu, Nabila percaya banyak ruang yang masih boleh diperbaiki.

“Sudah tentu boleh diperbaiki lagi. Tetapi persembahan tadi yang terbaik untuk saya. Mungkin sebelum ini saya tak pernah sangka yang saya dapat buat persembahan seperti itu.

“Saya berharap, selepas ini bila pandemik beransur pulih, keadaan kembali seperti biasa dari segi jemputan persembahan dan kerjaya seni.

“Bercakap mengenai keadaan kesihatan, ia semakin baik. Sudah sembuh, tapi ia ambil masa untuk betul-betul pulih.

“Apa yang berlaku kepada saya, saya tak perlu nak jadikan sebab untuk cerita kepada orang.

“Apa yang saya letakkan malam ini adalah persembahkan yang orang nanti-nantikan.

“Alhamdulillah, saya dapat tunaikan permintaan semua orang yang menantikan persembahan Peluang Kedua dari saya sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai kekuatan untuk melakukan persembahan di pentas AJL35 selepas mengharungi beberapa siri kontroversi sebelum ini, Nabila mahu menjadi yang terbaik untuk diri sendiri.

“Untuk saya, ia bukannya untuk mereka. Semua yang saya lakukan adalah untuk diri sendiri. Ia kerja keras dari team saya sendiri.

“Saya menghadiri kelas vokal dan sebagainya. Ia sebenarnya lebih kepada untuk memajukan diri saya.

“Tahun 2021, macam-macam perkara yang terjadi. Sentiasa bangun dan menjadi versi yang terbaik untuk diri saya,” katanya mengakhiri perbualan.

Padin