Categories: Trending

“Asyik-Asyik Jadi Jahat Je” – Mahu Teroka Sisi Berbeza, Dynas Mokhtar Tak Kisah Bawa Watak Tua

Pelakon Dynas Mokhtar atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 38, mengakui dirinya mahu meneroka sisi berbeza dalam bidang lakonan.

Sering membawakan watak antagonis, Dynas inginkan kelainan dan sanggup mencuba watak baharu bagi mempelbagaikan profil lakonannya.

“Saya sering dikaitkan dengan watak antagonis. Jika dahulu, bila terpampang sahaja wajah saya di kaca televisyen, orang dah boleh agak, ni mesti watak jahat, perampas, orang kaya sombong, banyak ke arah watak antagonis.

“Asyik-asyik jadi jahat je, kini saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Saya juga tak kisah nak bawakan watak tua. Tahun lalu, saya ada membawakan watak ibu kepada pelakon-pelakon dewasa.

“Pada mulanya, orang tak boleh terima. Tapi selepas itu, penonton dapat rasakan apa yang saya sampaikan dan pertikaian awal hilang begitu sahaja. Dalam lakonan, saya sentiasa mahu mencari kelainan dan meneroka sisi berbeza. Semua untuk portfolio seni, peminat yang sentiasa menyokong serta cinta dan minat saya dalam bidang ini.

“Kini, saya bawakan pula watak komedi untuk drama bersiri Keluarga Untuk Disewa yang bersiaran di TV9 setiap Isnin hingga Khamis jam 8.30 malam. Alhamdulillah, reaksi yang diraih sangat positif.

“Saya juga gembira kerana dapat bekerjasama dengan pelakon hebat lain seperti Adibah Noor, Azhan Rani, Pekin Ibrahim, Afifah Nasir dan ramai lagi,” katanya.

Dynas ditemui di majlis pelancaran produk berasakan kunyit hitam, Black G di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengakui bersifat selektif, Dynas berkongsi pembabitannya menjalin kerjasama dengan produk terbabit.

Pembabitannya Dynas sebagai rakan kongsi perniagaan membolehkan dia dan rakan perniagannya, Mohamad Mughniy Mohamad, 33, selaku Pengurus Pembangunan Perniagaan berkongsi idea dari segi pemasaran dan penjualan.

“Saya memang memilih. Sebelum saya setuju, saya mesti mencuba dahulu kerana saya tak mahu menipu. Sebelum ini, saya ada berikan kepada suami ketika dia disahkan positif Covid-19.

“Ia menjadi antara ikhtiar untuk bina kembali imunisasi tubuhnya. Sebab ketika itu, dia hilang suara dan deria rasa. Syukur, selepas itu keadaannya kian baik. Kuasa Allah yang menyembuhkan dan kami usaha mana yang termampu.

“Saya tak kata produk ini mampu menyembuhkan, tetapi apa yang saya nak beritahu, ia berupaya membantu mengembalikan tenaga. Sejak itulah, saya turut amalkan kerana bimbang memandangkan saya kontak rapat suami.

“Alhamdulillah, akhirnya saya negatif. Kemudian, selepas rasai sendiri kebaikannya, baru saya berani nak kongsi dan berikan kepada mana-mana individu yang saya jumpa. Sikit-sikit saya terima reaksi positif,” katanya.

Padin

Recent Posts