Categories: Trending

Bapa Nynaa Harizal Mengaku Tidak Bersalah Ugut Guna Pistol

Bapa kepada pelakon Nynaa Harizal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki pada 2 November lalu.

Tertuduh, Harizal Hashim, 49, yang merupakan seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Memetik laporan Utusan, berdasarkan pertuduhan, Harizal yang merupakan bapa kepada pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu didakwa menakutkan Mohamad Nur Usry Mohd. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZP-07.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada pukul 1.40 pagi pada 2 November lalu.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM5,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mempertimbangkan khidmat cemerlang selama 25 tahun berkhidmat dengan TUDM bagi mengurangkan jumlah ikat jamin.

Tertuduh turut memohon tempoh untuk perbicaraan akan datang memandangkan buat masa ini dia sedang mengupah peguam bagi menguruskan proses perceraian anak perempuannya secara baik.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember untuk sebutan.

Akhbar sebelum ini melaporkan suami kepada pelakon Nynaa iaitu Mohamed Fahmi Ilyas membuat laporan polis berhubung dakwaan yang mengatakan isterinya ‘diculik’ oleh bapa mentuanya, Mejar (B) Harizal Hashim pada malam 1 November lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku ketika di set penggambaran sebuah drama di daerah ini sebelum bapa mentua bertindak ‘menculik’ isterinya untuk tujuan berubat.

Ketika kejadian, ibu dan bapa mentuanya serta abang iparnya dikatakan telah datang ke set penggambaran sebelum ibu mentuanya bertindak menarik isterinya masuk ke dalam kereta serta membawanya pergi.

Lebih mengejutkan lagi apabila bapa mentuanya mengacukan sepucuk pistol ke arah perut pengawal peribadi Nynaa sambil memberi amaran akan melepaskan tembakan jika menghalangnya untuk mengambil pelakon terbabit.

Dalam pada itu, Mohamed Fahmi menyatakan bahawa kali terakhir dia berhubung dengan bapa mentuanya itu pada 3 November lalu namun dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai punca bapa mentuanya bertindak sedemikian adalah disebabkan status kewangannya tidak kukuh.

Sumber: Utusan

Padin