Categories: Trending

Bella Astillah reda jika perpisahan jadi pengakhiran rumah tangganya dengan Aliff Aziz

Kemelut rumah tangga selebriti media sosial, Bella Astillah dan suaminya, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, menjadi berita paling trending dan hangat sejak semalam.

Ini berikutan pendedahan beserta bukti yang dibuat Bella yang mendakwa suaminya curang dengan pelakon Oktovia Manrose apabila ke kelab malam bersama-sama.

Bella turut menyimpan tiga video yang dikirim seorang saksi iaitu individu yang bertanggungjawab mendedahkan perlakuan sumbang Aliff dan Oktovia, yang sama-sama membintangi drama, Dosa Itu Bukan Miliknya.

Dalam video itu dipercayai kedua-duanya dalam keadaan mabuk dan menari berpelukan, namun rakaman video itu tidak didedahkan secara terbuka.

Semalam, Bella membuat pengakuan kepada BH Online, beliau reda jika perpisahan menjadi jalan terakhir untuk perkahwinannya dan Aliff.

 

 

“Saya tidak sangka dia akan buat hal lagi. Ingatkan, dia sudah berubah. Kali ini, dengan pelakon juga.

“Saya sudah tidak mampu untuk berselindung. Sebab itu juga saya memilih untuk berkongsi cerita ini di Instagram.

“Sebelum ini, saya maafkan dirinya dan memberikannya peluang, namun nampaknya dia tidak menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Selepas ini, saya perlu berbincang dengan keluarga kerana apa sahaja keputusan mengenai rumah tangga kami, ia tetap membabitkan banyak hati,” ujarnya.

Foto: Oh Hangat

Sebelum ini, Aliff pernah mengecewakan isterinya pada Julai 2017 apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir. Bagaimanapun, ketika itu Bella memaafkan suaminya dan berusaha membuka buku baharu.

Akui kakak kepada penyanyi, Didi Astillah ini, hatinya sudah tawar dengan Aliff, 28.

“Silap saya sendiri sebab terlalu sayang, cinta dan menjaga nama serta keperluannya. Akhirnya, saya juga yang makan hati.

“Lima tahun kami saling mengenali dan usia perkahwinan kami juga memasuki tahun ketiga. Nampaknya, tempoh itu belum cukup untuk saya benar-benar mengenalinya. Dia masih tak serik.

“Ikutkan, banyak lagi kisah seumpama ini yang saya pendam dan tidak kongsi bersama umum. Sudah banyak juga peluang diberikan dan dia masih bersikap acuh tak acuh,” dakwa Bella.

Yanie Baharom