Categories: Trending

Belum Matang 14 Hari Tapi Nak Holiday Di Langkawi, 2 Pelancong Wanita Diarah Berpatah Balik

Gara-gara suntikan dos kedua vaksin Covid-19 belum mencecah tempoh matang 14 hari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan dua pelancong wanita yang mahu bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah supaya berpatah balik ke Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis.

Individu berusia 32 dan 35 tahun itu dikesan melakukan kesalahan itu ketika pemeriksaan polis ke atas semua penumpang yang baharu sahaja tiba di Terminal Feri Kuah pada 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kedua-dua wanita itu dilaporkan secara bersama menaiki feri penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis untuk bercuti ke Langkawi.

“Pemeriksaan anggota polis bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati kedua-dua penumpang terbabit menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kami mendapati tempoh matang suntikan dos kedua diterima mereka belum mencapai tempoh 14 hari seperti ditetapkan iaitu kurang tiga hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Shariman, atas sebab itu, kedua-dua wanita terbabit dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi melakukan pengesahan status vaksin mereka.

Susulan itu, mereka diarahkan untuk berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada 2 petang semalam.

Sumber: Harian Metro

Padin