Categories: Trending

Beri Makanan, Susu & Lampin Pakai Buang, Kehamilan Tak Halang Ayda Jebat Hulur Bantuan

Biarpun sedang sarat hamil, penyanyi dan pelakon popular Ayda Jebat tidak terkecuali untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 29, bersama ahli keluarganya memberikan bantuan untuk mereka yang berada di sekitar Ayer Keroh, Melaka sebentar tadi.

“Saya rasa bersyukur kerana dapat sama-sama membantu mereka yang memerlukan. Ia merupakan usaha kami untuk membantu penduduk di tempat asal saya.

“Kalau ikutkan hati, saya nak sama-sama keluar mencari mereka yang terkesan dan mahu membantu, tetapi saya sendiri enggan berhadapan dengan risiko kerana sedang sarat hamil.

“Memandangkan saya kini tinggal di kawasan Lembah Klang yang terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), keluarga saya yang mengagihkan sumbangan di Melaka.

“Kami mengagihkan bekalan makanan, susu dan lampin pakai buang. Syukur Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan terima kasih kepada keluarga saya yang membantu,” kata Ayda.

Tambah isteri kepada pengacara Nabil Mahir ini, dia berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Ramai yang terkesan dengan pandemik ini. Jika hendak dihitung, bantuan yang saya berikan bersama keluarga tidaklah sebanyak mana.

“Saya berharap tak ada pihak yang anggap kami mahu menunjuk memberi bantuan. Saya mahu perkara ini dilihat menerusi sudut positif. Malah, foto penerima bantuan pun saya tak mahu dedahkan di laman sosial.

“Saya berharap cerita ini dapat menjadi inspirasi untuk orang ramai yang berkemampuan dan mempunyai rezeki lebih dapat sama-sama berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Saya hanya membantu dari jauh sahaja dan berharap ia dapat meringankan beban sedikit sebanyak. Semoga kita semua sama-sama saling membantu dan menjaga keselamatan agar dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya lagi.

Padin