Categories: Trending

Budak 13 tahun ini peroleh RM6,000 kerana membuat kerja sekolah rakan-rakannya

Apabila tiba musim cuti sekolah, kanak-kanak pastinya antara yang paling seronok. Ada yang mengambil peluang itu untuk bercuti bersama-sama keluarga, sama ada pulang ke kampung, mengunjungi taman tema atau mengikuti program khusus seperti kem cuti sekolah.

Bagaimanapun, berbeza dengan seorang pelajar perempuan berumur 13 tahun di China. Beliau memilih untuk mengaut keuntungan dengan membuat kerja sekolah, tetapi bukan kerja sekolah miliknya, sebaliknya pelajar lain!

‘Perkhidmatan’ untuk membantu rakannya menyiapkan kerja sekolah sepanjang cuti sekolah telah tular kerana dipromosikan menerusi laman sesawang.

Dia juga memperoleh banyak tempahan sehingga mengaut keuntungan sebanyak 10,000 Yuan (lebih kurang RM6,000) untuk satu musim cuti sekolah sahaja!

Bagi mendapatkan pelanggan dan mengadakan publisiti, kanak-kanak berkenaan menggunakan akaun e-dagang ibunya tanpa pengetahuan wanita berkenaan.

Dia juga menyediakan contoh hasil kerja tangannya untuk semakan sesiapa yang berminat. Bijak!

Foto: SeeHua

Memandangkan tulisannya tampak sangat kemas, tempahan mula menimbun dan dia dikatakan memanfaatkan setiap waktu untuk menyiapkan tempahan kerja sekolah berkenaan.

Malangnya, apabila sekolah dibuka semula, guru kepada seorang daripada pelanggannya mengenali tulisan kanak-kanak perempuan itu. Akhirnya terbongkarlah rahsia terbabit.

Pelanggan kanak-kanak itu dikatakan meminta wang dipulangkan setelah ditangkap menipu, tetapi kanak-kanak perempuan itu berkata dia telah meluangkan banyak masa untuk menyiapkan kerja sekolah berkenaan, justeru bayaran berkenaan tidak dapat dipulangkan.

Marah dengan jawapan kanak-kanak itu, pelanggannya membuat laporan mengenai akaun e-dagang ibu kanak-kanak terbabit, sekali gus menyebabkan akaun itu disekat oleh pihak bank.

Hal ini telah menarik perhatian ibunya dan selepas disiasat, kanak-kanak itu akhirnya berterus-terang mengenai ‘perniagaan yang dijalankan’.

Media di negara itu melaporkan kanak-kanak berkenaan dimarahi ibunya dan semua wang yang diperoleh itu dirampas!

Apa yang paling memeranjatkan ibunya adalah apabila kanak-kanak perempuan itu langsung tidak menunjukkan kesal dengan perbuatannya, malah berpendapat tidak salah jika dia ingin mengaut keuntungan menggunakan bakat tersendiri.

Adakah anda juga pernah membuka perniagaan ketika kecil?

Sumber: World Of Buzz

 

Ad Ops