Categories: Trending

‘Bukan Merajuk Tapi Kecewa’- NCIG Umum Henti Operasi Di Malaysia

“Bukan mudah bagi kami tapi ini jalan terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NCIG (M) Sdn Bhd, Shariffuddin Bujang yang mengumumkan syarikat berkenaan bakal menghentikan operasi di Malaysia.

Beliau ketika ditemui di sidang media sebentar tadi memaklumkan susulan berita negatif yang sering dikaitkan dengan mereka sebelum ini mendorong NCIG untuk melakukan langkah drastik.

“Bukan mudah kerana setakat ini kami sudah membantu 170,000 pengguna yang berazam untuk berhenti merokok secara perlahan.

“Selagi Malaysia tidak memperkenalkan regulasi terhadap kandungan nikotin dalam rokok elektronik, ini menjadi halangan buat kami bagi memenuhi misi utama NCIG untuk membantu lapan juta perokok di Malaysia berhenti merokok,” katanya dalam nada kecewa.

Tambah Shariffuddin, NCIG hanya akan fokus memasarkan produk sifat nikotin daripada NCIG Total Solution untuk pasaran tempatan sebagai fasa terakhir sebelum penarikan operasi bermula.

“Keutamaan kami adalah pada pasaran luar negara di mana regulasi produk rokok elektronik bernikotin telah diluluskan terutama di United Kingdon dan Indonesia,” katanya.

Pada masa ini, regulasi yang diguna pakai adalah NCIG hanya boleh memperkenalkan produk cecair elektronik yang mengandungi sifar nikotin di Malaysia.

Menurut beliau lagi, sekiranya perkara ini masih dilarang oleh pihak berkuasa, ini akan memberi impak besar kepada peniaga tempatan yang lain.

“Industri kreatif juga bakal terjejas kerana syarikat Vape menggunakan bakat anak muda tempatan bagi menghasilkan reka bentuk, iklan, pembungkusan dan juga melabur dalam produk dagangan bagi tujuan promosi.

“Sudah tentu impaknya terkesan pada ramai anak muda hari ini terutama pengusaha Bumiputera persendirian yang majoritinya mengeksport majoriti produk mereka ke luar negara dan mengupah sehingga 30,000 pekerja tempatan,” akhirinya.

Sementara itu, NCIG turut melancarkan produk terbaharu, NCIG2 Total Solution di NSummit2 di MIECC Seri Kembangan, Selangor.

SGMS Faida