Categories: Trending

Cheta Potpet Cari Material Single Baharu – “Mungkin Akan Tampilkan Konsep Rock Dangdut”

Pernah muncul dengan single pertama pada 2020, penyanyi Cheta Potpet atau nama sebenarnya, Rozita Baharom, 35, kini mencari material untuk single terbaharu.

Teruja untuk terus mewarnai dunia hiburan, Cheta bercadang untuk muncul dengan single bergenre rock dangdut.

“Insya-Allah akan ada single baru. Single sebelum ini pun dapat penerimaan positif dengan 55,000 tontonan walaupun saya tak benar-benar mempromosikannya. Setakat ini, ia masih lagi di peringkat perbincangan.

“Kali ini, saya masih mencari formula yang betul untuk menghasilkan lagu yang bagus dan kali ini, saya mungkin akan bekerjasama dengan penyanyi Ifa Raziah.

“Memandangkan genre kami berdua berbeza, saya harus memikirkan yang terbaik. Ifa sinonim dengan dangdut manakala saya pula selesa dengan muzik Pop dan Rock. Mungkin konsep single terbabit adalah rock dangdut.

“Sebelum ini, ada yang kata kami macam kembar dan sebagainya. Kami pun mulai rapat dan sering berkongsi idea dan pendapat mengenai bisnes juga. Jadi ada keserasian untuk kami berkolaborasi,” kata usahawan produk kecantikan Secret Desire ini.

Dalam pada itu, Cheta turut bersyukur kerana impiannya yang tertangguh selama dua tahun tercapai.

“Sebagai seorang usahawan, setiap tahun saya mengadakan rumah terbuka Syawal untuk menghargai pelanggan, ejen serta orang ramai yang menyokong. Tetapi hasrat saya tertangguh pada 2020 dan 2021 kerana kehadiran Covid-19.

“Alhamdulillah, tahun ini kita dapat menyambut Syawal seperti biasa dan saya meneruskan impian saya untuk sama-sama meraikan Aidilfitri bersama mereka yang sentiasa menyokong dan saya lepas geram dengan membuka sembilan khemah untuk meraikan tetamu yang selama ini menyokong Secret Desire.

“Dalam masa yang sama, saya turut mengadakan promosi diskaun untuk beberapa rangkaian produk saya untuk pengguna yang hadir. Alhamdulillah, niat saya untuk berkongsi rezeki tercapai dan dipermudahkan,” katanya lagi.

Padin