Categories: Trending

Cikgu Azizan bebas!

Mahkamah Majistret Seremban hari ini membebaskan Azizan Manap atau dikenali sebagai Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya.  

Terdahulu, beliau yang merupakan guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi tiga lagi rakan lain, buli, memukul murid lain dan ponteng sekolah.

Lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hadir di Kompleks Mahkamah Seremban memberi sokongan moral kepadanya sejak jam 8 pagi tadi.

Mereka bersorak apabila Cikgu Azizan keluar dari mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dan dimaklumkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik. Syabas Cikgu Azizan! 

SGMS Enal