Categories: Trending

“Dia Tak Kisah Kena Datang Seremban…” – Aina Abdul Akui Mulakan Langkah ‘Lamar’ Khai Bahar

Penyanyi Aina Abdul mengakui dia memulakan langkah untuk ‘melamar’ penyanyi Khai Bahar.

Saling memuji dan mengagumi bakat masing-masing, Aina melamar Khai untuk terlibat dalam sebuah single duet terbaharu berjudul Nafas Cinta.

Berkongsi mengenai kerjasama yang terjalin, ia tercetus selepas mereka berduet dengan menyanyikan semula lagu Just Give Me A Reason dan ditayangkan di saluran YouTube masing-masing.

“Saya memang jarang berhubung dengan penyanyi lain. Apabila Khai sudi buat ‘cover’ di YouTube, saya sangat gembira. Tidak menjangka pula duet kami itu mendapat maklum balas sangat baik daripada peminat kami.

“Kemudian, Khai menjemput saya untuk menyanyi dengannya pada sebuah program di stesen televisyen. Ketika itu, saya cakap pada pengurus, alang-alang sudah berkenalan kita boleh buat satu lagu. Jadi, saya dan pengurus ‘approach’ pihak Khai dan dia pun okay.

“Saya terus buat melodi lagu Nafas Cinta dan Khai pun berikan input untuk melengkapkan lagu ini. Jadi, melodi dan lirik lagu ini kami hasilkan bersama,” katanya.

Menurut Aina, 27, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, lagu Nafas Cinta dicipta khas bagi memberikan nafas baru dalam muzik mereka berdua yang mana lagu ini ditujukan buat pasangan yang sedang ingin bercinta sehingga melangkah ke alam perkahwinan.

“Lagu ini sangat mencabar, cuma bunyi kedengaran santai. Dari segi kekuatan vokal masih ditonjolkan, tapi kami berbincang dan bersetuju untuk ketengahkan emosi dan perasaan yang relaks dan santai.

“Mesej lagu Nafas Cinta ini sangat berbeza dengan lagu lain yang saya tulis. Lagu ini lebih ‘muda’ dan menyasarkan golongan remaja. Jadi, disebabkan itu saya sangat berharap lagu ini diterima baik dan dekat dengan mereka.

“Secara tidak langsung, apabila mendengar lagu ini mereka akan tersenyum dan gembira selain mengimbas kisah cinta mereka. Sebab ini bukan lagu berat macam sebelumnya. Pendek kata, ‘feel’ lagu sangat romantis dan ‘sweet’,” katanya.

Aina berkata, proses menghasilkan Nafas Cinta dipermudahkan walaupun proses rakaman dijalankan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Bagi mencipta keserasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk buat proses rakaman. Pertama, Khai datang rakam demo dulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi dan maksud lagu. Kali kedua baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia ambil masa juga.

“Tapi, Khai sangat membantu dan dia sangat menyokong. Walaupun saya baru, tapi dia sangat merendah diri. Khai tidak kisah kena datang ke Seremban, tapi dia sangat memberikan kerjasama,” katanya.

Lagu Nafas Cinta dilancarkan di semua platform muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, Youtube Music, Channel YouTube dan juga Apple Music bermula 18 Disember 2020.

Dalam perkembangan lain, Aina kini sedang berentap di program Vokal Mania yang hangat bersiaran di TV3.

Jangan lupa saksikan Vokal Mania setiap Sabtu, jam 9 malam di TV3! Vokal Mania juga boleh ditonton strim langsung secara HD di YouTube TV3 Malaysia dan tonton.com.my ATAU menerusi LIVE TV di www.xtra.com.my/livetv.

Layari www.xtra.com.my serta laman media sosial TV3 Malaysia untuk info lanjut.

Padin