Categories: Trending

Faizal Hussein Masih Gagah Buat ‘Stunt’ Sendiri

Pelakon senior Faizal Hussein mendedahkan dirinya masih mampu membuat aksi atau ‘stunt’ sendiri menerusi drama bersiri W: Two Worlds.

Menurut Faizal, dia bersyukur dirinya masih lagi ditawarkan watak-watak yang mencabar meskipun sudah berusia.

“Saya bersyukur di usia macam ni diberi peluang untuk bawa watak yang susah. Saya memang seronok dapat berlakon dua watak dalam satu cerita. Ini adalah suatu perjalanan yang menarik untuk saya. Memang itu yang saya idamkan.

“Semua aksi dalam drama bersiri ini saya buat sendiri. Cuma tengok pada choreography itu saya hanya bagi tahu apa yang saya tak boleh buat dan ada yang saya tambah sendiri lagi,” katanya.

Perkara itu telah didedahkan oleh Faizal ketika ditemui di sidang media W: Two Worlds Watch Party, semalam.

Tambah Faizal, dia berasa puas hati dapat melakukan banyak aksi sendiri menerusi drama adaptasi daripada K-drama itu.

Namun, dia masih menitik beratkan tahap kesihatannya dan kemampuannya sebelum melakukan sebarang aksi ketika di lokasi penggambaran.

“Ada juga satu babak tu stuntman tak kasi saya buat. Mereka pun tak percaya saya nak buat sendiri tapi saya tetap nak buat dan buat satu take je. Untungnya bila saya buat sendiri, pengarah akan letak muka saya yang saya buat.

“Kita tahu tahap kesihatan kita, sekarang umur saya 56 tahun tapi kesihatan dalaman kita berbeza. Dalam erti kata lain kita kena tahu kemampuan kita sendiri. Benda tu bila kita suka, dia akan jadi senang dan enjoy.

“Bila saya tahu watak saya memerlukan banyak babak yang fighting, saya banyakkan exercise. Pemakanan saya ada ambil weight gainer kalau kena tambah berat badan, tapi tak pernah diet,” jelasnya.

Dalam pada itu, Faizal mengakui dia juga mengalami kecederaan ringan ketika menjayakan sebuah babak menerusi drama tersebut.

“Cedera saya biasa je, ketika itu ada satu babak tu saya kena berlawan, jadi kuku kaki saya jadi hitam dan tercabut,” katanya.

Fatin Nurain