Categories: FeaturedTrending

Fazura hamil empat bulan, kongsi tiada alahan mengandung

Setelah dua tahun melayari bahtera perkahwinan, aktres jelita, Nur Fazura Sharifudin melahirkan rasa syukur apabila dirinya kini hamil empat bulan.

Berita gembira berkenaan dikongsi isteri kepada pelakon Fattah Amin itu menerusi Instagram miliknya pada Jumaat.

“Insya-Allah dengan izin Allah SWT kami bakal menimang cahaya mata kami yang pertama. Kandungan saya kini dalam bulan keempat, Alhamdulillah.

“Kami sentiasa yakin akan peraturan Allah dan sesungguhnya ini merupakan waktu yang paling tepat bagi kami dikurniakan zuriat yang amat membahagiakan ini,”tulisnya.

Perkongsian yang mendapat lebih 270,000 tanda suka sejak dikongsi tiga jam lalu itu turut dikongsi di Instagram milik suaminya. Menerusi hantaran berkenaan, pasangan sama cantik sama padan itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan perhubungan mereka.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan memberikan ucap selamat kepada kami selama ini. Kami amat mensyukuri setiap detik dalam fasa ini dan hari-hari indah yang akan datang, Insya-Allah.

“Tiada yang lebih diutamakan dalam hidup kami sekarang melainkan yang tersayang. Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi daripada hati kami berdua,” katanya lagi.

Sementara itu, menerusi perkongsian eksklusifnya kepada BH Online, Fazura berkata dia tidak mengalami sebarang alahan seperti kebiasaan ibu mengandung.

“Sejak disahkan berbadan dua, belum pernah lagi saya mengalami alahan teruk atau muntah-muntah pada waktu pagi seperti kelazimannya. Cuma ada rasa penat sedikit.

“Saya bersyukur kerana Tuhan mempermudahkan urusan saya. Mujur juga tiada alahan, kalau tidak, mesti ramai yang boleh hidu berita kehamilan saya ini.

“Walaupun tanpa alahan, rasa mengidam itu tetap ada dan boleh dikatakan sepanjang masa. Sebelum ini, saya tak suka masakan pedas tapi sejak mengandung, saya jadi suka pula,” katanya yang melakukan tiga kali ujian kehamilan sebelum benar-benar yakin dirinya hamil.

Fazura,36, dan Fattah,30, mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 selepas dipertemukan dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella.

Tahniah Hijab & Heels ucapkan!

Ad Ops