Categories: Trending

Hamdan Senario Meninggal Dunia

Anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, kira-kira jam 12.50 tengahari tadi.

Memetik laporan Berita Harian, berita pemergian pelawak berusia 54 tahun itu disahkan oleh anggota kumpulan Senario iaitu Azlee.

Menurut Azlee, jenazah Hamdan akan dibawa pulang ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, jam 12.50 petang tadi.

“Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua hari lalu apabila jantung hanya 20 peratus berfungsi dan bantuan pernafasan tidak mampu menyokong arwah.

“Saya sudah menguruskan van jenazah untuk membawa arwah pulang ke kediamannya di Ipoh.

“Kami menjangkakan jenazah akan tiba sekitar jam 8 malam, tapi bila akan dikebumikan belum pasti. Itu perlu tanya keluarga arwah dahulu,” jelasnya.

Hamdan telah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) sejak Ahad lalu akibat jangkitan dalam darah selepas cirit-birit dan sukar bernafas.

Ahad lalu, Hamdan sepatutnya menjayakan persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru sempena ulang tahun ke-27 Senario.

Namun Hamdan tidak dapat menyertainya kerana demam dan terjatuh lalu dikejarkan ke HSA.

Maya Basir