Categories: #BabyXTRA

#BabyXTRA: Syukur Dikurniakan Anak Yang Memahami, Karakter Comel Fatima Sering Cuit Hati Ramai! Fazura Kongsi Nikmat Jadi Seorang Ibu

Meskipun memiliki jadual padat sebagai seorang pelakon, Nur Fazura, 40, bersyukur apabila dia boleh menyusun jadual kerjayanya demi membahagikan masa bersama puteri tercinta, Nur Fatima Aisya, 3.

Menerusi segmen #BabyXTRA minggu ini, Fazura berkongsi perjalanan menjadi seorang ibu kepada Fatima yang digambarkan sebagai satu pengalaman paling indah dalam hidupnya.

Fatima Anak Memahami

Selain sibuk berlakon, Fazura juga merupakan seorang usahawan yang sangat berjaya.

Aktres filem Manisnya Cinta Di Cappadocia ini bersyukur memiliki anak yang sangat memahami walaupun masih kecil.

“Alhamdulillah, dengan bantuan Allah semuanya sangat baik. Saya menikmati setiap perjalanan menjadi seorang ibu.

“Fatima seorang anak yang sangat memahami, anak yang ada perasaan empati dan dalam masa yang sama dia sangat kuat, rasanya lebih kuat dari saya.

“Bila saya beritahu dia apa-apa perkara, dia akan faham. Dia dibesarkan dalam keluarga yang ada ibu bapa bekerjaya, sibuk, dan dibawah perhatian orang ramai (limelight) setiap masa tetapi Alhamdulillah, saya dan suami syukur dikurniakan anak yang sangat memahami,” ujarnya.

Pembahagian Masa Mudah

Sementara itu, bintang filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah ini akan menyelitkan masanya untuk melakukan aktiviti dengan anak tersayang.

“Pembahagian masa bersama anak pun tak susah juga, Alhamdulillah saya boleh mengatur jadual sendiri.

“Kalau dalam seminggu tu saya dan Fattah akan sibuk, tapi satu hari dalam seminggu tu kalau cuti tak kisah hari apa pasti akan luangkan masa sepanjang hari dengan dia.

“Kalau dua-dua sibuk penggambaran, kami akan bersilih ganti. Misal kata Fattah pergi shooting dulu, kemudian baru saya.

“Kami akan pastikan bila anak bangun pagi dia nampak kedua-dua parents dia ada,” katanya lagi.

Karakter Fatima

Menceritakan mengenai karakter Fatima kini berusia tiga tabun, Fazura berkata anak bijaknya itu gemar memakai alat solek, memasak, dan suka berkawan.

“Fatima sekarang dia suka main makeup-makeup, masak, dia juga seorang anak yang ramah, suka berkawan dan juga sangat kuat. Contohnya kalau dia ingat orang langgar dia, dia boleh tendang orang tu balik,” katanya berseloroh.

Nikmat Jadi Ibu

Ketika disoal mengenai momen tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar ibu, Fazura berkata perkara paling segar dalam ingatan adalah hari-hari dimana dia tidak tidur kerana Fatima menangis di waktu malam, manisnya kenangan itu dianggap sebagai satu nikmat.

“Momen yang saya paling ingat sampai hari ini adalah malam dimana saya tidak tidur apabila Fatima menangis waktu malam. Tapi bila fikir balik itu adalah nikmat menjadi seorang ibu,” katanya lagi.

Sekadar info, Fazura dan suami tercinta, Fattah Amin, 33, mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya, 3 tahun.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Didakwa Tak Sebulu Dengan Nur Fazura… Neelofa Mahu Berdamai, Terbuka Hati Tamatkan Spekulasi Sengketa

Artikel Berkaitan: “Petahnya Dia Berkata-Kata, Siap…” – Comelnya Aksi Anak Fazura & Fattah Amin Minta Izin Untuk Masuk ‘Live’

Aqilah Paharuzi