Categories: FeaturedTrending

Hazama & Tuju Selit Mesej Positif Dalam ‘FASA’

Pastinya fasa endemik adalah fasa dimana banyak perkara dan aktiviti tertangguh demi mengekang penularan wabak COVID-19. Hal ini sekaligus memberi impak terhadap rakyat Malaysia termasuklah penggiat seni tanah air.

Justeru itu, penyanyi, Hazama dan Tuju K-Clique tampil dengan single terbaharu mereka berjudul, FASA sebagai ‘buah tangan’ buat peminat.

Berkongsi mengenai single terbaharu dari dua penyanyi dengan genre berbeza ini, Hazama mengakui pelbagai usaha dilakukan demi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh dua tahun ini.

Malah, lagu FASA antara lagu yang diselitkan dengan elemen atau mesej-mesej positif bagi memberi semangat kepada masyarakat khususnya yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Pandemik Covid-19 ini benar-benar menguji semua orang. Sebagai anak seni, saya juga tidak terlepas dengan ujian ini. Sepanjang dua tahun ini macam-macam yang telah saya lakukan demi kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah saya berjaya bertahan dan kena cekal kerana pasti segala kejadian ini ada hikmahnya. Jadi, lagu FASA yang disampaikan ini diselitkan dengan mesej-mesej positif untuk memberi semangat kepada semua.

“Tidak dapat dinafikan, semua orang ada FASA tersendiri yang perlu ditempuhi. Namun apa yang penting kita perlu kuatkan semangat dan jangan pernah mengalah.” katanya.

Lagu hasil ciptaan dan lirik Firdaus Rahmat, Fahimi Rahmat dan Tuju ini juga merupakan runut bunyi bagi drama Samarinda, Suamiku Lelaki Pendosa yang disiarkan bermula 9 Februar, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam.

Drama ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Dato’ Aaron Aziz, Sophia Al Barakbah, Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Gambit Saifullah dan ramai lagi.

Salma Syahbuddin