Categories: Trending

Ini Punca Enam Anggota Bomba Lemas Dalam Misi Mencari Dan Menyelamat

Susulan kejadian enam anggota bomba daripada Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) meninggal dunia dalam misi menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun yang terjatuh di lombong Taman Putra Perdana Puchong. Punca kejadian tersebut dipercayai akibat hujan lebat yang menyebabkan pusaran air terbentuk dan kesemua mangsa lemas ketika bergelut untuk keluar.

Menurut Ketua pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohamad Hamdan Wahid memberitahu terdapat penghadang banjir di lokasi dan hujan yang lebat mengakibatkan aliran air deras melimpah ke tebing.

“Terdapat pusaran di kawasan terbabit dan anggota di tebing nampak kesemua mangsa bergelut untuk keluar dari pusaran itu. Anggota di lokasi cuba mengeluarkan kesemua mangsa dan bantuan kecemasan turut diberikan namun kesemuanya gagal diselamatkan”

“Kita dapati terdapat penghadang banjir di lokasi dan hujan yang lebat mengakibatkan aliran deras dan melimpah ke tebing. Bagaimanapun, kita akan lakukan siasatan dalaman supaya dapat elakkan kejadian ini daripada berulang pada masa akan datang”

“Kejadian ini sememangnya amat tidak dijangka dan kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi ini. Ini adalah kejadian pertama sebegini berlaku selepas kami  pernah kehilangan dua penyelam di dasar laut beberapa tahun lalu.”

 

Empat anggota PPDA pelabuhan Klang yang lemas adalah Mohd Fattah Hashim, 34, Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlam Omar Baki, 25  dan Yahya Ali, 24 manakala, dua lagi anggota PPDA Shah Alam yang terlibat ialah, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hafidzul Malik Shaari, 25.

Setakat malam tadi, remaja 17 tahun yang dilaporkan hilang masih belum dijumpai dan operasi akan bersambung pada jam 8 pagi oleh Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.

Salma Syahbuddin