Categories: Trending

“Jangan Letak Jangkaan, Mungkin Agak Kayu” – MK Ceburkan Diri Dalam Bidang Lakonan

Anggota kumpulan rap K-Clique, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, kini melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan.

Menurut MK, dia teruja menceburi cabang seni baru selain nyanyian dan baru sahaja menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini.

“Saya ada berlakon baru-baru ini. Peluang melibatkan diri dalam bidang lakonan dan beraksi di hadapan kamera merupakan pengalaman baru dan ia sangat menarik.

“Sebelum ini pun, sebagai penyanyi, saya sering beraksi dalam muzik video. Selain itu, saya membawa perasaan serta emosi berbeza mengikut tema lagu yang disampaikan,” kata MK.

MK turut berharap orang tidak meletakkan jangkaan tinggi kerana ini adalah sesuatu yang baharu untuk dirinya.

“Nyanyian berbeza dengan lakonan. Bidang lakonan merupakan satu peluang untuk saya menimba pengalaman baru. Saya harus meneliti skrip dan banyak belajar perkara berbeza yang mungkin agak asing.

“Jangan letak jangkaan yang terlebih, mungkin lakonan saya agak ‘kayu’ kerana saya masih belajar dan sedang menimba pengalaman baru,” katanya sambil tertawa.

MK ditemui pada sidang media virtual single terbarunya berjudul Veto, baru-baru ini.

Veto turut menampilkan bintang hip hop ternama tempatan seperti Tuju K-Clique, Loca B dan DJ Cza.

“Gabungan saya bersama TujuLoca dan DJ Cza sangat unik. Veto bermaksud kuasa dalam landasan seni dan ia sedikit sebanyak memaparkan cerita kami dalam bidang muzik.

“Setakat ini, respons dan penerimaan orang ramai terhadap lagu ini sangat memberangsangkan,” katanya lagi.

Veto kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik digital seperti Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Padin