Anthony Loke Menyamar Lagi.. Kali Ini Tinjau Situasi KTM

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila menyamar sebagai penumpang biasa bagi meneliti dan memeriksa sendiri keadaan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM), semalam.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Facebook, Loke menaiki tren komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantunya.

“Saya meninjau perkhidmatan KTM Komuter dan keadaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Saya mengambil tren Komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantu saya,” tulisnya.

Menurut Loke, dia menerima banyak maklum balas berkenaan perkhidmatan KTM.

Loke akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTM dalam masa terdekat untuk membincangkan cara penambah baik perkhidmatan.

“Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS.

“Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan cara untuk menambah baik dan menambah kekerapan perkhidmatan Komuter,” ujarnya.

Memahami pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaiktaraf landasan Fasa 1 dan Fasa 2 yang masih belum siap dan tergendala, Loke akan mencuba sedaya upaya untuk berjumpa dengan pihak pengurusan TBS bagi membincangkan mengenai kesiapsiagaan perkara ini.

“Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi disebabkan oleh projek menaiktaraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.

“Saya juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan,” tulisnya.

Dharnieya Nur Amelsa