“Syukur Allah Masih Sayang” – Akui Terpengaruh Dengan Rakan, Namun DSV Batal Hasrat Buat Bariatrik Gara-Gara…

Baru-baru ini, usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida (DSV) mendedahkan bahawa dia pernah berhasrat melakukan pembedahan bariatrik demi kelihatan kurus dan cantik.

Memetik laporan mStar, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 51, turut berkongsi bahawa dia telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM33,000, namun membatalkan hasratnya pada saat akhir kerana timbul rasa takut.

“Ketika itu saya terlibat sebagai penaja program Gegar Vaganza, rasa nak kurus, nak cantik sampai sanggup melakukan pembedahan potong usus. Saya sudah bayar wang pendahuluan untuk prosedur tersebut.

“Syukur Allah masih sayang. Saya jadi takut di saat-saat akhir dan batalkan niat tersebut. Ada seorang doktor juga maklumkan saya tidak perlu lakukan pembedahan sebegitu,” kata Vida.

Kongsi Vida lagi, dia akui berhasrat melakukan pembedahan tersebut kerana terpengaruh dengan rakan-rakan yang menjalani prosedur tersebut dan dia ingin mencuba.

“Sebelum ini terpengaruh dengan kawan-kawan yang melakukan pembedahan tersebut membuatkan saya mahu mencuba,” tuturnya pada mStar.

Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk mengamalkan gaya hidup sihat di samping mengambil produk keluarannya sebagai langkah untuk menguruskan badan.

Sehubungan itu, Vida juga memberi teguran kepada pengusaha produk pelangsingan sepertinya yang melakukan pembedahan sebagai cara untuk kaburkan mata perngguna.

“Kalau mereka yang betul-betul ada masalah kesihatan disebabkan berat badan dan mendapat nasihat doktor untuk pembedahan bariatric teruskanlah. Cuma bagi saya mungkin tidak sebab melihat betapa sukarnya rakan-rakan yang tanggung sakit selepas pembedahan. Ada mereka yang terpaksa kerap ke hospital untuk rawatan susulan.

“Saya hanya amalkan produk sendiri. Tak perlu nak bedah. Kepada rakan-rakan usahawan, janganlah ambil kesempatan tipu pengguna. Kalau mereka kurus sebab buat pembedahan itu sudah dikira aniaya pengguna,” katanya lagi.

Sumber: mStar

Atiqah Johari