Bahana Cemburu, Bintang TikTok JinnKid Mengaku Tak Bersalah Bunuh Isteri

Bintang TikTok, Ali Abulaban atau lebih dikenali sebagai JinnKid oleh pengikutnya mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan membunuh pada Isnin di Mahkamah Tinggi San Diego.

Pendakwaraya kes ini berkata, beberapa jam sebelum Abulaban membunuh isterinya, dia secara senyap-senyap memasang peranti alat mendengar pada peranti tablet anak perempuannya yang berusia lima tahun.

Apabila dia mendengar isterinya dan seorang lelaki berbual, Abulaban pergi ke rumah isterinya dan menembak kedua-duanya sehingga mati, lapor The San Diego Union Tribune.

Abulaban sebelum ini telah diminta oleh isterinya untuk pindah keluar dari rumah setelah isterinya menyatakan hasrat untuk bercerai.

Sementara itu, NBC San Diego pada Khamis melaporkan sepupu kepada tertuduh berkata ketidakupayaan untuk mengawal dan kerana terlampau obses adalah penyebab Abulaban bertindak sebegitu.

“Dia terlampau sayangkan isterinya sehingga dia menjadi obses dan mahu mengawal segala gerak geri isterinya,” ujar sepupu Abulaban, Louis Marinari.

Marinari juga menambah Abulaban berasa sukar untuk mengawal isterinya kerana isterinya mempunyai kehidupan sosial yang besar menyebabkan dia berasa bengang kerana tidak lagi dapat mengawal isterinya.

“Saya rasa media sosial seperti TikTok, Instagram, YouTube, Facebook dan apa-apalah, saya rasa ia mencipta satu realiti palsu buat Abulaban untuk melarikan diri dari kehidupan yang nyata.

“Saya rasa ia telah membuatkan Abulaban berasa yang tiada sesiapa boleh menyentuh dia, bagi saya populariti telah mencipta makhluk yang asing,” kata Marinari kepada NBC San Diego.

Abulaban yang berumur 29 tahun mempunyai lebih daripada 950,000 pengikut di TikTok dimana akaunnya memaparkan sketsa komedi dan penyamaran watak Tony Montana dari filem Scarface 1983.

Isterinya yang dikenali sebagai ‘Anamacewindu’ di TikTok turut mempunyai lebih daripada seribu pengikut dan terdapat beberapa video menunjukkan kemesraan Abubalan bersama Ana.

Tiada siapa yang dapat menyangka Abulaban mampu bertindak dengan membunuh isterinya jika melihat video kebahagiaan mereka yang dikongsi di media sosial.

Ramai pengguna TikTok yang mengenali Abulaban atau JinnKid terkejut dengan berita ini.

Sumber: The San Diego Union Tribune dan NBC San Diego.

Arfah