Bakal Merebut Kerusi Parlimen Gombak, Azwan Ali Akui Masih Gementar

Pengacara kontroversi, Azwan Ali atau Diva AA disahkan bertanding di kerusi Parlimen Gombak sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Lebih menarik abangnya juga, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertanding di kerusi yang sama dan memberitahu akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang dimenanginya pada pilihan raya yang lalu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan disahkan akan bertanding di kerusi yang sama.

Memetik laporan BH Online, Azwan memberitahu dia akan menghadiri sesi penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, esok.

“Saya akan berada di SMK Sungai Pusu, jadi orang ramai boleh ikuti lintas langsung yang saya lakukan di TikTok dan Instagram untuk mendapatkan jawapan.” jelasnya

Azwan mengakui dirinya masih gementar untuk menunggu hari penamaan calon pada esok hari.

“Saya gementar kerana kali terakhir, saya lihat kelibat Azmin pada PRU-14.

“Setelah sekian lama, esok sudah tentu sekali lagi saya akan bertemu dengan Azmin. Inilah masa yang dinanti-nantikan ribuan rakyat dan penyokong. Ramai yang mahu melihat momen ini,” katanya lagi.

Menurut Azwan dia bertanding di PRU15 bukan secara sengaja tetapi disebabkan oleh sokongan dari pelbagai pihak.

Tambah Azwan lagi, dia menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada yang mengundi dirinya pada PRU14 yang lalu dan percaya orang tersebut sentiasa memberikan sokongan yang jitu untuk Azwan menentang abangnya Azmin Ali.

Sumber: BH Online

 

Halimey Zamal