Ceroboh Bilik Hotel Isteri Orang, Bekas Kapten Bola Sepak Kebangsaan Didakwa

Seorang bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanitanya, bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ceroboh Bilik Hotel Isteri Orang, Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan Ditahan

Menurut laporan Kosmo, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik hotel wanita berusia 36 tahun yang juga isteri orang di Kelana Jaya di sini pukul 6 petang, 21 Jun lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM 5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal, mencadangkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh yang juga bekas pemain Perak FA.

“Mangsa dalam kes ini ialah kenalannya. Syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Ahmad Shahrul, Datuk Suraj Singh memohon jaminan paling rendah atas alasan anak guam perlu menanggung isteri serta tujuh anak selain tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam dalam jaminan polis ketika menerima panggilan dan terus hadir ke mahkamah, tidak cuba mengelak dan melarikan diri. Isterinya tidak bekerja, manakala enam daripada tujuh anaknya masih belajar.

“Rakan anak guam yang juga pekerja kontrak akan menjadi penjamin untuk pastikan kehadiran pada tarikh akan datang, selain tertuduh tiada kes rekod jenayah di mahkamah,” katanya.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 18 September ini untuk sebutan kes.

Sumber: Kosmo

Khairil Khusyairi