#JusticeForBella: Dipaksa Makan 1,280 Cili Padi, Tak Dibenarkan Minum Air… Netizen Sebak – “Mana Letaknya Perikemanusiaan!”

Perbicaraan di Mahkamah Seskyen mengenai kes penderaan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella semakin hari semakin menyayat hati wargamaya selepas terdedahnya tindakan kejam yang dilakukan oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Tidak cukup diikat dan disimbah air panas, terkini Bella dikatakan dipaksa untuk makan 20 hingga 80 biji cili padi selama beberapa kali seminggu.

Artikel Berkaitan: “Bella Beritahu Saya Dia Dicili, Dijirus Air Panas & Diikat” – Saksi Pertama #JusticeForBella

Artikel Berkaitan: Dipaksa Makan Najis Sendiri, Disimbah Air Panas 5 Kali Sehari… Ini Update Terbaharu Mengenai #JusticeForBella

Bukan itu sahaja, menurut keterangan saksi pendakwaan kelima yang juga penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood turut memberitahu Bella tidak dibenarkan minum air selama beberapa hari atas sebab tidak akur kepada arahan Siti Bainun.

Anak istimewa berusia 13 tahun itu dikatakan turut dimarahi dan diugut untuk disimbah air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

“Siti Bainun juga arahkan saya pegang bahu Bella ketika berdiri dan menyuruh remaja itu untuk melutut dan diugut bagi air panas.

“Bella juga ada dihentak kepala di dinding, diejek dan diperbodohkan,” kata saksi.

Dalam pada itu, Yasmin menjawab soalan balas peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf bersetuju bahawa cili padi itu diberi kepada Bella beberapa kali seminggu.

Farhan bertanyakan sama ada Siti Bainun mengeluarkan arahan untuk mengira jumlah cili itu secara spesifik dan Yasmin Nahar menjawab ‘ya’.

Peguam itu mempersoalkan adakah mangsa tidak mengalami sakit perut akibat memakan 80 cili jika diikutkan perkiraan mangsa diberi makan empat kali seminggu.

“Katakan Bella didera empat bulan, kiranya 1,280 cili padi disumbat dalam mulut Bella,” soal peguam itu.

Meninjau di ruangan media sosial Twitter, tanda pagar #JusticeForBella kembali ‘trending’ yang dipenuhi dengan luahan perasaan netizen mengenai kes anak syurga, Bella ini.

Rata-rata netizen menyoalkan bagaimana Bainun tergamak untuk mendera Bella dengan begitu kejam tanpa mempunyai sedikit rasa empati terhadap anak yang tidak tahu sebarang perkara itu.

Ramai dalam kalangan mereka turut bersimpati dengan nasib dihadapi Bella dan menyifatkan perbuatan Bainun itu sangat melampau dan tidak berperikemanusiaan.

Tertuduh Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi melampau.

Bainun didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: #JusticeForBella: Saksi Ke-5 Dedah Bella Didera Setiap Malam Pada Setiap Hari Selama 4 Bulan

Artikel Berkaitan: #JusticeForBella: Petisyen Desak Menteri Tamatkan Khidmat Syed Azmi

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi